Kenapa tak lawan Malaysia atau Indonesia? Ong Kim Swee anggap Asean All-Stars hanya sekadar aksi hiburan


  • Podium
  • Khamis, 15 Mei 2025

Pengendali Persis Solo, Datuk Ong Kim Swee. — Facebook/Persissolo

BEKAS Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee mengkritik perancangan perlawanan persahabatan antara Asean All-Stars dan Manchester United yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Mei ini.

Menurutnya dalam laporan Media Indonesia, perlawanan itu lebih bersifat pertunjukan hiburan berbanding aksi kompetitif yang bermakna.

Kim Swee turut mempersoalkan mengapa Manchester United tidak menentang pasukan kebangsaan seperti Indonesia atau Malaysia, yang kini sedang giat membuat persiapan untuk kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.

BACA LAGI: Terima kasih beri peluang, bintang JDT-Selangor tinggalkan kelab Thailand

BACA LAGI: 'Kelab gulung tikar, ancaman serius masa depan bola sepak Malaysia'

Ketua Jurulatih Persis Solo, Datuk Ong Kim Swee. — Facebook/Persissolo

Beliau berpendapat, perlawanan tersebut seharusnya digunakan sebagai medan persediaan buat pasukan kebangsaan, bukannya sekadar aksi yang tidak menampilkan pemain utama dari negara-negara Asean.

"Bagi saya, perlawanan itu hanyalah satu pertunjukan. Kenapa Man United tidak menentang pasukan kebangsaan Indonesia atau Malaysia? Itu lebih masuk akal," kata jurulatih Persis Solo itu.

Kim Swee turut menekankan kepentingan merancang perlawanan antarabangsa dengan mengambil kira jadual dan kesiapsiagaan pasukan kebangsaan.

Beliau berharap penganjur lebih bijak dan berhemah dalam merancang perlawanan persahabatan agar ia tetap relevan dan memberi manfaat kepada perkembangan bola sepak di rantau Asean.

Walaupun mengakui perlawanan tersebut mempunyai nilai tontonan, dengan Man United kekal menjadi tarikan utama di Asia Tenggara, Kim Swee menegaskan bahawa masa pelaksanaannya tidak sesuai dan kelihatan terpaksa.

Man United akan hadir ke Kuala Lumpur bagi perlawanan persahabatan bertemu Asean All-Stars.

“Kita faham penganjur mahu menyediakan tontonan, tetapi ini tidak mengambil kira kesibukan negara-negara Asean yang sedang mempersiapkan diri untuk perlawanan rasmi. Penganjur sepatutnya lebih bijak merancangnya,” jelas beliau.

Menurut Kim Swee, jika tiada komitmen padu daripada negara-negara Asean, kualiti perlawanan itu akan jauh dari memuaskan.

"Jika pemain yang diturunkan bukanlah yang terbaik, mengapa perlu mengadakan perlawanan ini?” tegas beliau.

Menjelang perlawanan pada penghujung Mei ini, Malaysia selaku tuan rumah setakat ini hanya diwakili oleh seorang pemain, iaitu penjaga gol Haziq Nadzli, manakala dua lagi pemain masih belum diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dua pemain yang sebelum ini tersenarai, Dominic Tan dan Sergio Aguero tidak akan menyertai perlawanan menentang Man United kerana komitmen bersama skuad kebangsaan.

Indonesia masih belum membuat keputusan rasmi mengenai pemain yang akan menyertai Asean All-Stars, menunggu arahan daripada jurulatih Patrick Kluivert.

Sementara itu, Vietnam telah mengumumkan tiga pemain, tetapi negara-negara lain seperti Myanmar, Singapura, Kemboja dan Thailand masih belum mengumumkan senarai rasmi pemain mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram