Pemenang JIGC ke-10 berpeluang masuk senarai pendek wakili Malaysia ke Sukan SEA


  • Podium
  • Khamis, 15 Mei 2025

RSGC dengan kerjasama Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia dengan bangganya mempersembahkan Kejohanan Golf Jemputan Junior RSGC-SportExcel Edisi ke-10.

KELAB Golf Diraja Selangor (RSGC) dengan kerjasama Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) bakal melangsungkan Kejohanan Golf Jemputan Junior RSGC-SportExcel (JIGC) Edisi ke-10, bermula 20 hingga 22 Mei 2025 di East Course RSGC, Kuala Lumpur.

Kini memasuki edisi ke-10, kejohanan berprestij itu terus menarik penyertaan pemain golf junior terbaik dari Malaysia dan luar negara, menyediakan platform untuk bakat muda memperoleh pendedahan antarabangsa serta pengalaman pertandingan yang kompetitif.

JIGC ialah kejohanan jemputan eksklusif bagi pemain golf amatur junior berusia 18 tahun dan ke bawah, yang merangkumi empat kategori utama iaitu Lelaki (16–18 tahun), Perempuan (16–18 tahun), Lelaki (15 tahun dan ke bawah), serta Perempuan (15 tahun dan ke bawah).

BACA LAGI: Terima kasih beri peluang, bintang JDT-Selangor tinggalkan kelab Thailand

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya tiada masa untuk tunggu', Syazwan Andik sah tinggalkan Sri Pahang

Menariknya, salah satu keistimewaan JIGC adalah pemberian slot kepada pemenangnya untuk menyertai kejohanan peringkat antarabangsa termasuk potensi ke kejohanan serantau.

Berita baik itu dikongsikan oleh Pengerusi Penganjur, Khor Yew Teik yang turut berbangga meneruskan kerjasama dengan SportExcel, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan belia.

"Kami berbangga untuk meneruskan kerjasama kami dengan SportExcel, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan belia dan mencipta peluang seperti ini.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Persatuan Golf Malaysia (MGA) atas sokongan berterusan mereka dalam memajukan golf junior serta pengiktirafan terhadap kepentingan kejohanan seperti ini," katanya.

Pengerusi Penganjur Kejohanan Golf Jemputan Junior RSGC-SportExcel, Khor Yew Teik.

Tambahnya lagi, pemenang bagi kategori pemain lelaki dan dan perempuan terbaik dalam kategori 15 tahun dan ke bawah akan diberi peluang untuk mengembangkan pengalaman di peringkat serantau.

"Tahun lalu, pemain lelaki dan perempuan dari Malaysia yang mencatat keputusan terbaik telah dijemput oleh MGA untuk mewakili negara dalam kejohanan junior peringkat serantau.

"Kami dengan sukacitanya memaklumkan bahawa inisiatif ini diteruskan pada tahun 2025, dengan penambahan peluang baharu.

"Tahun ini, MGA akan turut memberi peluang yang sama kepada pemain lelaki dan perempuan terbaik dalam kategori 15 tahun & ke bawah. Ini menjadikan jumlah wakil Malaysia kepada empat orang pemain — dua dari kategori 16–18 tahun dan dua dari kategori 15 tahun & ke bawah.

"Pemain-pemain itu akan berpeluang mewakili Malaysia dalam Kejohanan Junior Serantau di Asia Tenggara, dengan kos penerbangan, penginapan dan pengangkutan ditanggung sepenuhnya oleh penganjur (RSGC dan MGA).

"Perkembangan itu mencerminkan komitmen berterusan kami untuk menyediakan laluan pembangunan yang bermakna kepada pemain muda agar mereka dapat berkembang, mendapat pendedahan, dan membawa nama Malaysia ke pentas serantau," jelasnya.

Edisi kesembilan pada 2024 menyaksikan pemain Indonesia, Jonathan Manuel Wijanto dan Ngo Yi Belle dari Malaysia muncul juara keseluruhan.

Selain itu, ketika ditanya mengenai peluang pemain tempatan untuk mewakili Malaysia dalam Sukan SEA sekiranya menang kejohanan itu, Setiausaha Kehormat MGA, Datuk Zulkifli Ismail berkata pihaknya sedia membuka dua slot dalam senarai pemilihan pemain ke kejohanan serantau itu.

Langkah itu dilihat sebagai satu insentif yang besar buat pemain muda, sekali gus membuka ruang kepada bakat tempatan untuk menyerlah di pentas antarabangsa.

Seramai 66 pemain golf junior dari enam negara termasuk Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Singapura dan Taiwan bakal memeriahkan kejohanan tersebut dengan sebanyak 33 peserta adalah dari Malaysia, manakala selebihnya mewakili negara-negara jiran dan kelab ‘reciprocal’ luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram