'Bagilah peluang, Gergasi Merah patut berbangga dengan kualiti produk ubi muda'


  • Podium
  • Khamis, 15 Mei 2025

Skuad Gergasi Merah pasti akan membawa masuk nama-nama baharu pada jendela perpindahan kali ini.

PEMBUKAAN jendela perpindahan kali ini dijangka sedikit muram kerana rata-rata kelab Liga Super ketika ini sedang bergelut dengan isu kewangan sehingga menyukarkan mereka membawa masuk pemain import baharu.

Namun, bagi pasukan yang stabil, ini merupakan ruang terbaik bagi pihak pengurusan menyambar muka-muka baharu bagi menutup kelemahan disaksikan barisan kejurulatihan dan penyokong sepanjang musim lalu.

Antara kelab dijangka melakukan pelaburan besar-besaran ialah Selangor FC selepas pelbagai kekurangan disaksikan sepanjang kempen, baik dalam aspek pertahanan mahupun serangan yang membelenggu pasukan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan pemain tumpuan, aksi lincah Katsuhito Kinoshi dalam derbi Lembah Klang pikat fans Selangor

BACA LAGI: Lebih fahami 'fitness' dan taktik pemain, Katsuhito Kinoshi beri jaminan Selangor bakal tampil lebih garang

Skuad Gergasi Merah difahamkan sibuk mencari pengganti kepada Safuwan Baharudin dalam barisan pertahanan.

Berdasarkan laporan, mereka kini mahu mendapatkan bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira serta mana-mana pertahanan tengah bagi menggantikan kapten, Safuwan Baharuddin yang tidak lagi bersama kelab terbabit.

Tidak cukup dengan itu, khabar angin kuat mengatakan skuad Gergasi Merah bakal dibarisi pemain tempatan baharu bagi menggantikan nama-nama yang dianggap tidak lagi mencurahkan impak besar dalam pasukan.

Ini membuktikan kelab Lembah Klang terbabit mempunyai cita-cita besar untuk memberi saingan lebih baik pada kempen akan datang, lebih-lebih lagi selepas meletakkan diri dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two 2025/26.

Bagaimanapun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, adalah lebih baik sekiranya Selangor FC memberi peluang kepada 'ubi muda' pasukan selain pemain yang dipinjamkan ke kelab-kelab lain musim lalu.

'Ubi muda' dalam skuad simpanan Gergasi Merah sudah cukup bersedia untuk dibawa ke tahap baharu. Facebook/Selangor FC

Menurutnya, skuad Gergasi Merah perlu mula memberi kepercayaan kepada bakat yang berada dalam pasukan simpanan dengan masing-masing sudah membuktikan diri dengan membawa pasukan itu ke tangga kedua Piala MFL musim lalu.

"Harry (Danish) dan beberapa 'ubi muda' Selangor musim ini memang menyakinkan. Buat apa dapatkan pemain tempatan luar kalau ada yang muda dan sudah terbukti bagus dengan skuad pembangunan Selangor? Inilah masa untuk mereka berbangga dengan produk sendiri," katanya kepada Majoriti.

Kelab Lembah Klang itu memiliki program pembangunan terbaik dalam kalangan kelab tempatan kebelakangan ini dengan beberapa nama sudah menjadi sebutan penyokong yang mula menyedari potensi masing-masing.

Selain Harry Danish, skuad muda Gergasi Merah turut dibarisi nama-nama cemerlang seperti Haykal Danish, Rahman Daud serta Raimi Shamsul yang dianggap sudah bersedia untuk diserap ke dalam pasukan senior.

Richmond menikmati satu musim yang cemerlang sepanjang dipinjamkan ke skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Tidak terhenti di situ, Afiq Rowley sempat mengingatkan kelab tersebut supaya memberi peluang kepada pemain yang dipinjamkan musim lalu selepas minit permainan diraih memberi pendedahan sepatutnya.

"Richmond (Ankrah) mungkin. Untuk Hein (Htet Aung), mungkin boleh terus pinjamkan kerana posisinya bukan keutamaan buat kelab seperti Selangor. Richmond memang bagus musim ini dengan Penang, keras dan lasak. Suatu yang baik buat pertahanan Selangor musim depan," katanya lagi.

Skuad Gergasi Merah turut melepaskan beberapa pemain lain pada jendela perpindahan lalu secara pinjaman seperti Sikh Izhan Nazrel dan Azrin Afiq yang masing-masing diberi peluang secukupnya.

Perbezaan ditampilkan setiap kali beraksi membuatkan semua pemain tersebut bersedia untuk diserap, namun keputusan hanya boleh diberikan Katsuhito Kinoshi yang lebih tahu mengenai pasukannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram