Jodoh berakhir di JDT, Ruo Han berpotensi ikut jejak Safawi Rasid ke NSFC


  • Podium
  • Ahad, 11 Mei 2025

Ruo Han perlu mencari kelab yang mampu menawarkan minit permainan konsisten kepada pemain muda, dan NSFC dilihat sebagai destinasi yang sesuai. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JODOH pemain tengah muda berbakat, Chia Ruo Han bersama juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) akhirnya berakhir selepas tujuh tahun bersama kelab itu.

Ruo Han yang berasal dari Kulim, Kedah mula menyertai Akademi JDT pada 2018 ketika berusia 17 tahun.

Sepanjang tempoh itu, dia menunjukkan potensi besar dengan kelajuan serta ketenangan ketika mengatur serangan, sehingga pernah dibandingkan dengan bintang Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi.

BACA LAGI: 'Sirih pulang ke gagang,' Fandi Ahmad ikut jejak Nafuzi Zain-Ong Kim Swee dan otai Gergasi Merah

BACA LAGI: Hampir selesaikan 4 'transfer', nampak gayanya tanduk skuad Rusa makin tajam musim depan

Namun, meskipun sudah berusia 23 tahun, Ruo Han masih belum berjaya menembusi skuad utama JDT dan lebih banyak beraksi bersama JDT II sejak 2021.

Begitupun, Ruo Han pernah tersenarai dalam skuad utama untuk kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021, namun peluang beraksi kekal terhad.

Dengan kontraknya bersama JDT kini tamat, masa depan Ruo Han terbuka luas. Salah satu pilihan yang wajar dipertimbangkan adalah perpindahan ke kelab lain bagi mendapatkan minit permainan dan Negeri Sembilan FC (NSFC) dilihat sebagai destinasi berpotensi.

Ruo Han menjadi watak utama dalam membantu JDT II menjulang Piala MFL 2024/25. Facebook/JOHOR Southern Tigers

NSFC kini sedang giat membentuk skuad baharu bagi musim hadapan, dengan beberapa nama besar dikaitkan seperti kapten Terengganu FC, Safawi Rasid.

Turut dikatakan hampir menyertai NSFC ialah penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin, Ahmad Khuzaimi Piee, Azri Ghani, Hakimi Abdullah dan Ariff Ar-Rasyid.

Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, Ruo Han bukan sahaja berpeluang meraih minit permainan lebih konsisten, malah dapat mengembangkan kariernya dalam suasana kompetitif bersama skuad Jang.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelebihan sekiranya anak jati Kulim itu mengembangkan kariernya bersama skuad Jang musim depan.

1. Peluang minit permainan lebih konsisten

Bagi pemain muda seperti Ruo Han, minit permainan yang konsisten adalah elemen penting dalam proses pembangunan karier. Pada usia 24 tahun, dia berada di fasa kritikal untuk menukar potensi kepada prestasi sebenar di peringkat senior.

Selama berada di JDT, persaingan yang sengit dengan pemain bertaraf bintang mengehadkan peluangnya untuk tampil secara konsisten bersama skuad utama.

Hal ini menyebabkan dia lebih banyak beraksi bersama JDT II yang walaupun memberi ruang untuk beraksi, tetap tidak setara dengan pengalaman di Liga Super.

Skuad muda Harimau Selatan memiliki lambakan pemain berbakat besar selepas bertahun-tahun digilap. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Sekiranya Ruo Han menyertai NSFC, dia berpeluang menjadi watak penting dalam pasukan, terutama jika skuad Jang ingin membina skuad muda yang segar.

Perpindahan itu bukan sekadar peluang bermain, malah satu platform untuk membina semula keyakinan serta memperlihatkan nilai sebenarnya sebagai ‘jeneral tengah’ kepada seluruh peminat bola tempatan.

2. Bimbingan daripada Safawi Rasid

Kehadiran Safawi Rasid di Negeri Sembilan, jika benar bakal direalisasikan, bukan sahaja memperkukuh kekuatan pasukan tetapi juga membawa nilai tambah besar kepada pemain muda seperti Ruo Han.

Sebagai salah seorang pemain sayap terbaik negara yang berpengalaman di pentas domestik dan antarabangsa, Safawi boleh menjadi mentor berharga dalam perjalanan profesional Ruo Han.

Ruo Han berpeluang menimba ilmu dan pengalaman berharga bersama Safawi Rasid. — Facebook/TFC

Melalui interaksi di padang dan latihan harian, Ruo Han berpeluang mempelajari selok-belok taktikal daripada Safawi termasuk penempatan posisi, pergerakan tanpa bola, serta cara mencipta dan menyudahkan peluang serangan.

Lebih penting, Safawi juga boleh membantu membentuk mentaliti profesional yang diperlukan untuk bertahan dan berkembang dalam liga yang kompetitif.

3. Platform untuk menyerlah dalam Liga Super

Penyertaan Ruo Han ke skuad Jang bukan sekadar peluang mendapatkan minit permainan, tetapi juga merupakan pentas terbaik untuk membuktikan keupayaannya di peringkat tertinggi bola sepak tanah air.

Beraksi di Liga Super, setiap perlawanan menjadi medan untuk menarik perhatian pemerhati, jurulatih kebangsaan dan juga kelab-kelab besar lain.

Jika Ruo Han mampu menampilkan prestasi konsisten dan menyerlah sebagai tonggak tengah pasukan Jang, tidak mustahil namanya kembali disebut-sebut untuk menyertai semula kelab gergasi seperti JDT atau dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.

Ruo Han boleh mendapatkan minit permainan konsisten sekiranya mahu mengembangkan kariernya bersama skuad Jang.

Liga Super memberi pendedahan kompetitif yang diperlukan untuk menguji ketahanan mental, kecerdasan taktikal dan tahap permainan sebenar seseorang pemain.

Sekiranya dimanfaatkan sepenuhnya, Negeri Sembilan boleh menjadi ‘loncatan’ ideal bagi Ruo Han untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam kariernya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram