
MENJELANG musim depan, Penang FC dilihat tidak mahu ketinggalan dalam persiapan awal apabila agresif memburu pemain-pemain tempatan yang memiliki pengalaman luas di pentas Liga Malaysia.
Pendekatan itu menunjukkan kesungguhan skuad Harimau Kumbang untuk membina pasukan lebih kompetitif selepas beberapa musim bergelut dengan konsistensi.
Langkah membawa masuk pemain seperti Sikh Izhan Nazrel dan Richmond Ankrah secara pinjaman sebelum ini, serta khabar angin mengenai kemasukan bintang tanah air memperlihatkan komitmen skuad Harimau Kumbang dalam memperkukuh semua posisi utama pasukan.
BACA LAGI: 'Kelab gulung tikar, ancaman serius masa depan bola sepak Malaysia'
BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka
Tindakan itu bukan sahaja menambah pengalaman dalam pasukan, malah memberi gambaran jelas bahawa kelab Utara tanah air itu sedang merancang untuk tidak sekadar menjadi pasukan pelengkap dalam Liga Super musim hadapan, sebaliknya mahu mencabar pencapaian lebih tinggi.
Dengan perancangan rapi dan pelaburan strategik dalam jendela perpindahan akan datang, Penang bakal menjadi antara pasukan yang wajar diberi perhatian apabila musim baharu bermula kelak.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga bintang Selangor FC yang boleh dipertimbangkan untuk menyarung jersi skuad Harimau Kumbang musim depan.
1) Azim Al-Amin
Azim Al-Amin merupakan penjaga gol muda berusia 24 tahun yang kini beraksi bersama Selangor FC. Penghijrahannya ke Penang FC merupakan satu langkah yang dilihat wajar dari segi pembangunan kerjaya serta mendapatkan lebih banyak minit permainan.
Azim kini berdepan kekangan minit permainan di Selangor FC susulan persaingan sengit dengan penjaga gol utama seperti Kalamullah Al-Hafiz dan Samuel Somerville.
Kehadiran pemain-pemain berpengalaman itu menyukarkan Azim untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama secara konsisten.
Azim (kanan) sekadar memanaskan bangku simpanan selaku penjaga gol dan tidak beraksi dalam perlawanan. — Facebook/Selangorfc
Pada usia 24 tahun, Azim berada dalam fasa penting perkembangan kerjaya sebagai penjaga gol. Tanpa pendedahan dalam perlawanan sebenar, dia sukar membina keyakinan, konsistensi dan kemahiran taktikal yang diperlukan untuk berkembang sebagai pemain profesional.
Sekiranya Azim memilih untuk menyertai Penang FC, dia berpeluang menjadi pilihan utama atau sekurang-kurangnya mendapat peluang persaingan yang lebih terbuka berbanding kekal sebagai pemain simpanan di Selangor.
2) Sharul Nazeem Zulpakar
Pertahanan kental Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar merupakan seorang bek muda berbakat yang kini beraksi bersama Gergasi Merah.
Meskipun memiliki potensi besar, perpindahan ke Penang FC dilihat sebagai satu langkah strategik dalam perkembangan kariernya berbanding terus kekal bersama Selangor FC.
Barisan pertahanan Selangor FC kini dibarisi pemain import dan tempatan yang berpengalaman, menjadikan persaingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sangat sengit.
Afro (kiri) dilihat wajar berhijrah ke Penang FC musim depan. — Facebook/Selangorfc
Situasi itu menyebabkan Sharul Nazeem atau lebih dikenali sebagai Afro itu sering menjadi pilihan kedua atau ketiga, sekali gus mengehadkan minit permainannya dalam perlawanan kompetitif.
Penang FC pula sedang melalui proses penstrukturan semula pasukan dan memerlukan pemain tempatan berpotensi tinggi untuk dijadikan tonggak jangka panjang.
3) Syahir Bashah
Syahir Bashah merupakan pemain tengah menyerang Selangor FC yang memiliki teknik permainan yang baik dan dilihat sebagai antara bakat muda yang sedang meningkat dalam arena bola sepak tempatan.
Selain memerlukan minit permainan yang lebih konsisten, penghijrahan ke Penang FC pada musim depan merupakan langkah yang wajar dan strategik dalam usahanya membina kerjaya lebih kukuh.
Ketika ini, Syahir berdepan saingan sengit di posisi tengah menyerang di Selangor FC dengan kehadiran pemain import dan pemain senior seperti Yohandry Orozco serta Aliff Haiqal. Situasi itu mengehadkan penglibatannya dalam menentukan tempo permainan pasukan.
Bintang muda Selangor, Syahir Bashah. — Facebook/Selangorfc
Sekiranya menyertai Penang FC, Syahir berpeluang untuk memainkan peranan sebagai playmaker utama dan menjadi tonggak kepada gerakan serangan, sekali gus mempercepatkan kematangannya sebagai pemain tengah kreatif.
Dengan menyertai pasukan tersebut, Syahir berpeluang membina identiti sebagai pemain tengah utama Liga Super dan menjadi wajah baharu kelab dalam projek pembangunan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram