[VIDEO] 'Kalau guna pemain lokal, maaflah', Santokh Singh berpendapat dominasi JDT tak setaraf Bayern Munich


  • Podium
  • Ahad, 11 Mei 2025

JDT menyamai rekod cemerlang yang dicipta Bayern Munich apabila turut mencatatkan kejayaan serupa apabila memenangi gelaran Bundesliga dari musim 2012/13 hingga 2022/23.

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus mengekalkan dominasi mereka dalam bola sepak Malaysia apabila berjaya mempertahankan gelaran Liga Super, sekaligus meraih kemenangan ke-11 berturut-turut dalam saingan liga tertinggi negara.

Dengan kejayaan berkenaan, Harimau Selatan menyamai rekod cemerlang yang dicipta oleh kelab bola sepak gergasi Jerman iaitu Bayern Munich apabila turut mencatatkan kejayaan serupa apabila memenangi gelaran Bundesliga dari musim 2012/13 hingga 2022/23.

Rekod dunia kelab yang memenangi kejuaraan domestik berturut-turut terbanyak di pegang Tafea FC yang mempertahankan gelaran Liga Bolasepak Port Vila sebanyak 15 kali antara musim 1994 hingga 2008/09.

BACA LAGI: Jodoh berakhir di JDT, Ruo Ban berpotensi ikut jejak Safawi Rasid ke NSFC

BACA LAGI: Dikaitkan ke kelab Itali, bekas jurulatih JDT berpeluang bergandingan dengan 'flop' Man United

Musim ini, skuad Die Bayern mengesahkan kejuaraan ke-34 Bundesliga apabila musim ini merangkulnya selepas pencabar terdekat mereka iaitu Bayer Leverkusen terikat 2-2 dengan SC Freiburg dalam perlawanan ke-32 liga.

Walaupun saingan di Eropah lebih sengit, pencapaian JDT yang setaraf dengan Bayern Munich ini menonjolkan kehebatan pasukan tersebut dalam bola sepak tempatan, sekali gus menunjukkan bahawa kelab ini berada di landasan tepat untuk terus menerajui Liga Super Malaysia.

Untuk rekod, JDT yang mula dijenamakan pada 2013 kini sudah memenangi 29 gelaran termasuk merangkul 11 trofi Liga Super, sembilan Piala Sumbangsih, lima Piala Malaysia dan Piala FA serta satu Piala AFC.

Legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza mengenai situasi berkenaan terutamanya berkaitan dengan dominasi Harimau Selatan dalam saingan domestik.

Menurut Santokh, walaupun JDT menunjukkan kehebatan dengan membawa pemain-pemain dari luar negara namun beliau berpendapat bahawa lebih banyak pemain tempatan sepatutnya diberi peluang untuk bermain.

"Bayern memang bagus tapi kalau nak cakap pasal JDT, mereka bawa banyak pemain-pemain dari luar negara (import). Memanglah permainan mereka (JDT) bagus tapi kalau guna pemain lokal, maaflah.

"Bukan tak boleh pakai import tapi saya, kalau tanya saya kenapa tidak letak banyak lokal. Ini letak banyak pemain import. Dalam dua tiga orang boleh. Apa akan jadi kepada pemain-pemain kita? Itu sahaja," katanya kepada Majoriti pada Tiger Balm Malaysia X FC Bayern Munich Watch Party.

Majlis berkenaan dibuat bersama penyokong Bayern Munich Malaysia sebagai kejayaan mereka mengesahkan kejuaraan musim 2024/2025 selepas pencabar terdekatnya, Bayer Leverkusen terikat 2-2 dengan SC Freiburg dalam perlawanan ke-32 liga.

Arif Aiman berada di kelas tersendiri apabila menjadi satu-satunya pemain yang meraih gelaran Pemain Paling Bernilai sebanyak empat kali berturut-turut. — Facebook/MFL

Dalam pada itu, pemain yang pernah mewakili Selangor itu juga memberikan pandangannya mengenai khabar angin yang mengaitkan pemain muda berbakat, Arif Aiman dengan peluang untuk beraksi di luar negara.

Masa depan Arif Aiman sebelum ini menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong apabila timbul dakwaan kelab Iran, Persepolis FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada penghujung tahun lalu.

"Itu khabar angin sahaja. Semua orang boleh buat khabar angin. Tapi dia (Arif Aiman) tidak boleh lagi pergi luar negara. Dia tak capai lagi tahap dengan orang luar negara," katanya, merujuk kepada persaingan yang jauh lebih sengit di luar negara.

Terdahulu, selepas dikaitkan dengan pasukan luar negara, Arif Aiman menegaskan hasratnya mahu kekal setia dengan skuad Harimau Selatan meskipun pemain kebangsaan berkenaan mempunyai potensi tersendiri untuk mencipta nama di luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram