Tak sempat 'mandi peluh' tewaskan Nepal, Ahmad Jais masih belum puas prestasi regu takraw kebangsaan


  • Podium
  • Selasa, 13 Mei 2025

Malaysia (jersi hitam) mudah mengalahkan Nepal (jersi merah). — Facebook/PSM

JURULATIH skuad sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun masih tidak berpuas hati dengan beberapa aspek selepas Malaysia menewaskan Nepal dalam aksi peringkat kumpulan kategori regu di Piala Asia ASTAF 2025.

Ahmad Jais berkata, masih ada perkara yang perlu dibaiki menjelang aksi kedua berdepan Singapura.

Dalam aksi pada Selasa, Malaysia menang mudah dengan kemenangan straight set 15-6, 15-6 dalam tempoh 20 minit. 

BACA LAGI: Piala Asia Astaf: Kelebihan laman sendiri, kualiti pasukan buatkan negara berpeluang cerah

BACA LAGI: Sistem 15 mata luaskan peluang, sasaran final Piala Dunia berpatutan — Ahmad Jais

“Kami tidak menganggap Nepal satu lawan yang mudah. Bagaimana pun, kami masih belum berpuas hati dengan kualiti permainan. Masih ada yang perlu dibaiki,” kata Ahmad Jais kepada media selepas perlawanan.

Pada aksi bertemu Nepal, Ahmad Jais meletakkan barisan yang berbeza dengan memulakan Haziq Hairul Nizam, Khairul Aman Rosdi dan Farhan Adam sebagai ketua pasukan.

Ahmad Jais menggunakan semua pemain yang ada termasuklah Azlan Alias dan Syahir Rosdi untuk membolehkan mereka memanaskan badan sebelum berdepan Singapura yang dijadualkan pada sebelah malam pada Selasa.

"Ini perlawanan yang pertama, jadi kami cuba semua pemain yang ada ketika bertemu Nepal. Kita tidak menganggap perlawanan bertemu Nepal satu aksi yang mudah.

"Kita ambil serius semua pasukan yang ada. Kita akan cuba satu (strategi) dari satu perlawanan ke perlawanan lain," ujarnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram