[VIDEO] Laungan ‘Filipina koyak’ bantu kuadran Malaysia catat kemenangan ke-2, aksi nakal perejam negara teknik hilang 'nervous'


  • Podium
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Selepas ini, skuad kuadran negara dijadualkan bertemu Jepun pada Ahad.

SKUAD kuadran sepak takraw Malaysia mempamerkan aksi penuh debaran apabila menundukkan Filipina pada aksi kedua Kumpulan B Kejohanan Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) 2025 dengan kemenangan 2-1 pada Sabtu.

Kejayaan itu membuktikan kekuatan serta keserasian pasukan negara dalam acara kuadran dengan ia merupakan kemenangan kedua selepas menewaskan China 2-0 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur di sebelah petang.

Malaysia bermula garang pada set pertama apabila berjaya menewaskan Filipina dengan keputusan 15-6  menerusi gandingan skuad negara yang dibarisi Muhamad Shahalril Aiman, Norfaizzul Abd Razak, Amirul Zazwan dan Muhammad Afifuddin.

BACA LAGI: [VIDEO] Kejutan China tak menjadi, 2 aspek skuad Malaysia perlu baiki menjelang aksi kedua kuadran

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sampai 25 minit tewaskan Nepal, coach akui skuad double masih cari mood

Gandingan mantap antara pemain-pemain negara pada set pertama nyata sukar digugat oleh pasukan lawan, yang kelihatan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas dan agresif yang ditampilkan oleh Malaysia.

Set kedua bagaimanapun serba tidak menjadi buat  skuad bimbingan Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif apabila anak-anak buah Gene Mark J. Saavedra bermain penuh semangat yang memberi kemenangan 17-16 kepada Filipina.

Ketangkasan dan kerjasama berpasukan pasukan pelawat tersebut membolehkan skuad Filipina terus mengawal permainan dan memastikan peluang untuk memperoleh kemenangan pertama dalam acara itu kembali

Masih tidak melakukan sebarang pertukaran pada pusingan ketiga, kedua-dua pasukan menunjukkan servis yang tepat dan hadangan yang baik bagi memastikan tiada kesilapan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Laungan ‘Filipina koyak’ dari penyokong Malaysia seolah-olah mempengaruhi keadaan mental pemain lawan apabila permainan mereka mula kucar-kacir dan libasan terakhir Muhamad Shahalril memberi Malaysia kemenangan 15-8.

Selain laungan berkenaan, aksi ‘nakal’ perejam negara iaitu Muhamad Shahalril juga mencuri perhatian penyokong apabila pemain berkenaan dilihat kerap menganggu fokus lawan ketika permainan.

Mengulas mengenai tindakan dari Muhamad Shahalril itu, Mohammad Zulkarnain memberitahu bahawa ia adalah teknik untuk menghilangkan gementar ketika permainan berlangsung.

“Bagi saya sebagai pemain, dia sebenarnya bukan nak psycho pihak lawan. Dia sebenarnya nak release tension dari sendiri sebenarnya. Jadi, kalau kita enjoy, permainan kita pun jadi free lah,” jelasnya.

Selepas ini, skuad kuadran Malaysia akan bertemu Jepun pada Ahad di venue sama dengan pasukan berkenaan juga masih belum tewas dałam Kumpulan B selepas meraih kemenangan ke atas Filipina dan China. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram