KETUA jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menyambut baik sistem sistem 15 mata setiap set dengan menggantikan 21 mata sebelum ini.
Sistem pengiraan yang sudah pernah diguna pakai sebelum ini kembali diaplikasikan pada 1 Februari lalu bagi kesemua pertandingan domestik dan antarabangsa termasuklah pada kempen Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Mei ini.
Ahmad Jais berkata, semua anak-anak buahnya turut tidak mempunyai masalah untuk bermain dengan sistem 15 mata dan menyifatkan ia memberi peluang serta kesaksamaan kepada semua pasukan.
BACA LAGI: Perak Bison makin 'terbiasa', sistem 15 mata bagus cuma perlu tambah set
Ahmad Jais Baharun sebagai ketua jurulatih sepak takraw Malaysia.
“Kalau kita lihat kepada sistem baru ini, kita sebenarnya dah cuba pada Prince Cup 2024 tempoh hari. Kita dapat maklum balas dari semua pasukan.
“Semua pasukan kata ini peluang terbuka dan lebih saksama menggunakan pertandingan 15 mata dan satu servis. Malah, sistem ini juga sudah diguna pakai semasa latihan. Pemain juga dah biasakan diri,” katanya.
Ahmad Jais berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Undian Sepak Takraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.
Kedudukan Malaysia sebagai naib johan pada Piala Dunia Sepak Takraw 2022 di Korea Selatan meletakkan skuad tanah air dalam Kumpulan B dan diundi bersama China dan Brunei bagi acara regu.
Menerusi majlis undian berkenaan turut menyaksikan Malaysia akan bersaing menentang Brunei dan Jepun bagi acara berpasukan. Manakala, acara team event pula menyaksikan Brunei dan Jepun sebagai pesaing Malaysia.
BACA LAGI: Aksi mungkin jadi singkat, pengurus Perak Bison risau sistem 15 mata rugikan peminat takraw
Keputusan cabut undi Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Untuk info, sebagai pasukan tuan rumah, Malaysia mendapat wild card untuk memilih kumpulan dengan menyaksikan Asisten Komisioner Sarifudin Salleh mengambil tanggungjawab sebagai pengurus untuk menentukan nasib pasukan tanah air.
Dengan rezeki Malaysia tidak bertemu pasukan gergasi seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, seolah-olah memberi bayangan skuad tanah air akan mampu bersaing hingga ke pentas final.
Oleh itu, Ahmad Jais optimis Malaysia mampu menyahut cabaran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang menyasarkan untuk layak sehingga ke pusingan akhir.
Sarifudin Salleh bertindak sebagai pengurus jurulatih skuad sepak takraw negara. — Astro
“Ada kelebihan kepada negara bagi acara double dan berpasukan. Tapi bagi kita itu semua bukan tugas mudah. Kita akan fokus untuk setiap perlawanan yang disasarkan pihak persekutuan dan akan buat yang terbaik untuk fokus semua peringkat termasuk final.
“Tengok cabut undi kali ini, kami akan fokus setiap perlawanan untuk fokus pada saingan nanti. Ini adalah satu sasaran yang agak berpatutan kerana kita jangka untuk ke final nanti. Harap semua pemain akan bermain dengan baik kerana sedar bukan mudah bermain sebagai pasukan tuan rumah.
“Pasukan sekarang meneruskan latihan seperti biasa malam ini (Khamis) ada satu sesi latihan sebagai persediaan ujian perlawanan pada petang esok. Semua pemain dalam keadaan terbaik dan tiada kecederaan berlaku.
“Senarai akhir akan bariskan 12 pemain. Ini adalah platform awal untuk pilih. Sekiranya berlaku kecederaan, akan buat pertukaran dalam 16 pemain berkenaan,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram