
PASUKAN sepak takraw negara berpeluang menambah koleksi kejuaraan menjelang saingan Piala Asia Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur bermula dari 10 hingga 18 Mei depan.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut negara menjadi tuan rumah bagi pertandingan berprestij buat sukan tersebut yang membuktikan cengkaman kukuh pasukan kebangsaan di mata dunia.
Jadi, reputasi itu pasti mahu dikekalkan bagi pasukan yang akan bertanding dalam kesemua tiga kategori dengan tumpuan utama pasti ditujukan kepada acara regu.
BACA LAGI: Piala Asia ASTAF: Bagai langit dan bumi, Malaysia-Thailand berdepan undian berbeza
BACA LAGI: Saya harap tiket 'laku keras' masa Piala Asia ASTAF — Datuk Sumali
Mohsen percaya akan kebolehan dan kualiti dimiliki skuad takraw negara bagi saingan kali ini. — Facebook/Mohsen Amdan
Namun, bagi pemerhati sukan sepak takraw, Mohsen Amdan, pasukan kendalian Ahmad Jais Baharun mempunyai peluang cerah untuk merangkul gelaran Piala Asia berbanding negara lain.
"Atas kertas, sepatutnya kita tiada masalah untuk ke pentas final bagi ketiga-tiga kategori, iaitu berpasukan, regu dan kuadran, lebih-lebih lagi buat acara kuadran.
"Kenapa wajib final? Ini kerana bagi acara regu dan berpasukan, kekuatan kita miliki yang hanya mampu menandingi atas kertas ialah Thailand atas faktor tekong. Negara lain tiada tekong yang mampu menyaingi kita buat masa sekarang," katanya kepada Majoriti.
Cengkaman skuad sepak takraw negara terserlah selepas mereka menjuarai dua daripada tiga kategori dalam Piala Dunia Istaf (Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa) 2024, iaitu regu dan berganda.
Pasukan negara beraksi cemerlang dalam Piala Dunia Istaf 2024.
Namun, bagi edisi tahun ini yang berlangsung pada Mac lalu, pasukan kebangsaan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara beregu semasa saingan yang berlangsung di India.
Kekecewaan tersebut sudah tentu mahu ditebus, lebih-lebih lagi dengan Malaysia diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Piala Asia Astaf yang pasti akan meraih perhatian ratusan peminat ke gelanggang perlawanan.
Hal itu turut menjadi kelebihan buat pasukan negara dengan Mohsen mengakui suasana di Stadium Titiwangsa pernah memberi tekanan kepada Thailand dalam edisi Piala Dunia Istaf tahun lalu.
"Semasa saya tanya kepada pemain Thailand apa yang menyebabkan mereka tewas di Malaysia tahun lalu, mereka tidak pernah bermain dalam suasana seperti mana di sini.
Stadium Titiwangsa yang menjadi venue perlawanan memberi cabaran buat pemain luar semasa Piala Asia Astaf kelak.
"Ini kerana kebanyakan venue yang mereka beraksi di tahap tertinggi, tidak pernah penonton menjadi seramai itu dan tempat duduk mereka terletak cukup hampir dengan gelanggang," katanya lagi.
Bagi acara regu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura manakala regu berpasukan menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Brunei dan Jepun.
Dalam acara kuadran, Malaysia bersama Filipina, Jepun dan China dalam Kumpulan B manakala acara double menyaksikan Malaysia berdepan Thailand, Taiwan dan Nepal juga dalam Kumpulan B. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram