Percaturan nyaris makan diri sebelum tundukkan Jepun, skuad kuadran kebangsaan bersedia muncul semifinalis


  • Podium
  • Ahad, 11 Mei 2025

Pertembungan cukup menarik dapat disaksikan ketika skuad negara berdepan Jepun dalam aksi skuad kuadran.

SKUAD kuadran negara berjaya menutup aksi peringkat kumpulan di tangga teratas Kumpulan B untuk mara ke pusingan separuh akhir selepas menundukkan Jepun dengan keputusan 17-15, 15-10 pada Ahad.

Dalam perlawanan itu, pasukan negara memulakan aksi dengan sedikit goyah selepas ketinggalan, namun berjaya mengubah kedudukan untuk menumpaskan lawan dari Asia Barat tersebut.

Jelas Amirul Zazwan yang merupakan tonggak pasukan, permulaan itu agak sukar kerana barisan kejurulatihan melakukan perubahan terhadap barisan permulaan dengan memasukkan Fetri Azwadi dan merehatkan Afifuddin Razali.

BACA LAGI: Piala Asia Astaf: Kelebihan laman sendiri, kualiti pasukan buatkan negara berpeluang cerah

BACA LAGI: Piala Asia ASTAF: Bagai langit dan bumi, Malaysia-Thailand berdepan undian berbeza

"Sebenarnya, pada set pertama itu kita cuba menukar pemain. Ini kerana semalam (Sabtu), Fetri tidak beraksi dalam dua perlawanan. Jadi, jurulatih kami mahu melakukan perubahan strategi.

"Tetapi, Fetri tidak dapat menyesuaikan diri dan selepas menukar Afifudin kembali, kita dapatkan persefahaman itu kembali," katanya selepas aksi di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, jurulatih skuad kuadran, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif berkata, kemenangan berkenaan sudah cukup untuk memberi kelegaan sambil menegaskan mereka bersedia untuk bertemu mana-mana lawan.

"Kita perlu nantikan perlawanan antara Vietnam dan Korea Selatan malam ini (Ahad) untuk menentukan naib juara kumpulan yang merupakan lawan kita nanti. Jadi, dalam masa sama, kita sudah melakukan sesi analisis video untuk kedua-dua pasukan.

"Ini untuk melihat kelebihan dan kelemahan. Untuk aspek lain pula, kita akan cuba melakukan persembahan menakjubkan," katanya lagi.

Skuad kuadran negara menamatkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan B selepas menundukkan tiga pasukan lain iaitu Filipina, China dan Jepun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram