[VIDEO] Tewas mudah kepada duo Thai, coach kesan servis Aidil Aiman hukum Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Malaysia perlu mendapatkan kemenangan menentang Taiwan pada Ahad di venue sama.

SKUAD beregu negara terpaksa akur dengan kehebatan Thailand apabila tewas dalam pertembungan sengit dalam acara double dengan keputusan 0-2 dalam saingan Kumpulan B Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pertemuan itu menyaksikan pasangan negara, Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin gagal menyaingi rentak permainan pantas gandingan Thailand, Boonkoom Tipwong-Sirisak Anuloon, dalam aksi yang berlangsung dalam suasana tegang dan penuh debaran.

Set pertama menyaksikan wakil negara bermula agak perlahan, memberi ruang kepada pasangan Thailand untuk menguasai gelanggang. Aidil dan Noraizat cuba membina momentum namun sering kali ditewaskan dengan hantaran deras dan pukulan taktikal lawan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sampai 25 minit tewaskan Nepal, coach akui skuad double masih cari mood

BACA LAGI: Pakistan tarik diri akibat pergolakan negara, PSM lega India tak ikut sama

Akhirnya, set tersebut memihak kepada Boonkoom dan Sirisak dengan keputusan 15-10, sekali gus memberikan kelebihan awal kepada pasangan skaud Gajah Putih berkenaan.

Dalam set kedua, pasangan negara cuba bangkit dengan corak permainan lebih agresif dengan beberapa pertukaran mata yang menarik berjaya menaikkan semangat pasukan Malaysia.

Namun, pengalaman serta ketenangan pemain Thailand dalam menyerap tekanan dari penyokong skuad kebangsaan membolehkan mereka mengekalkan keunggulan dan terus memberi tekanan kepada pasangan negara.

Skuad bimbingan Somporn Jaisinghol membuktikan Thailand sebagai kuasa besar sepak takraw apabila mengesahkan kemenangan 17-15 ke atas Malaysia pada pusingan kedua mereka.

Kedudukan Kumpulan B selepas hari pertama perlawanan.

Dalam pada itu, pengendali skuad double negara iaitu Aswadi Abdullah tidak menafikan kesilapan para pemainnya dan mengesan kekhilafan yang ada pada servis Aidil Aiman.

“Saya rasa peluang kita sebenarnya 50-50. Masa permainan itu siapa yang buat banyak mistake, akan diganggu.  Kesalahan-kesalahan yang orang kata simple mistake kan. Kta nak kena elak perkara itu dan jangan buat pada aksi seterusnya.

“Kalau kita tengok dari segi set pertama, Aizat tidak melakukan banyak masalah. Kekurangan dekat Aidil. Memang ada sikit masalah. Ada sikit kesilapan dan dia juga kecewa tidak dapat servis yang dia nak.

Keputusan tidak memihak kepada tuan rumah itu memaksa Malaysia perlu mendapatkan kemenangan menentang Taiwan pada Ahad di venue sama. Untuk rekod, Taiwan masih tidak merekodkan sebarang kemenangan pada dua aksi mereka iaitu menentang Thailand dan Nepal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram