Tuah stokin ungu Tanaphon jadi sebutan, skuad beregu kecewa lagi di tangan Thailand


  • Podium
  • Isnin, 12 Mei 2025

Pertembungan epik itu berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada skuad negara dalam acara beregu.

SKUAD beregu negara sekali lagi kecewa di tangan Thailand selepas tumpas di perlawanan akhir acara tersebut 1-2 dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Isnin.

Gandingan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman terlebih dahulu menundukkan negara jiran menerusi keputusan 15-7 dalam set pertama dengan dominasi cukup baik ditonjolkan.

Bagaimanapun, Thailand tampil lebih baik di set kedua, terutamanya selepas Tanaphon Sapyen yang dimasukkan sebagai pemain simpanan mendapat rentak bersama pasangannya, Sirisak Anuloon.

BACA LAGI: Kecederaan Noraizat tak jadi halangan, coach skuad beregu anggap misi berdepan Thailand bukan mustahil

BACA LAGI: Izzuddin yakin 3 beregu lelaki Malaysia raih mata di Piala Sudirman 

Kemasukan Tanaphon (2) memastikan cengkaman Thailand dalam perlawanan akhir tersebut.

Menariknya, Tanaphon yang dibawa masuk untuk menggantikan Boonkom Tipwong tampil dengan penampilan berbeza apabila mengenakan stokin panjang berwarna ungu dengan ia menjadi buah mulut ramai.

Pemain tersebut tampil menjadi watak utama buat beregu Thailand kerana beberapa kali melakukan hadangan terhadap percubaan Noraizat dan Aidil Aiman yang membantu mereka meraih kemenangan 15-10 ke atas gandingan negara.

Derita terus dialami Malaysia dalam set ketiga yang berkesudahan 12-15, sekali gus menyaksikan pasukan negara mengalami kekalahan bagi acara beregu dengan ia melukakan hati peminat sepak takraw negara.

Ini kerana dalam pertembungan peringkat kumpulan, Thailand berjaya menundukkan Malaysia 2-0, sekali gus membuktikan permusuhan antara kedua-dua negara itu dalam sukan terbabit berterusan.

Pengendali skuad beregu negara, Aswadi Abdullah berkata, kekalahan tersebut tidak memadamkan rasa bangga terhadap pemain yang berjaya memberi aksi terbaik sepanjang Piala Asia Astaf.

"Persembahan daripada awal hingga ke final sebenarnya pemain sudah berikan yang terbaik. Cuma, dari segi permainan, kita ada peluang menang, tetapi hal sebaliknya berlaku.

"Secara kesimpulan, dari peringkat kumpulan hingga ke hari ini, pemain dapat terjemahkan apa dimahukan dan dapat beri yang terbaik dan pada saya, itu sudah cukup," katanya. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram