[VIDEO] Kejutan China tak menjadi, 2 aspek skuad Malaysia perlu baiki menjelang aksi kedua kuadran


  • Podium
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Selepas ini, skuad kuadran negara dijadualkan bertemu Filipina pada pukul 9:30 malam ini.

SKUAD kebangsaan memulakan aksi pertama Kumpulan B acara kuadran Kejohanan Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) 2025 dengan langkah kanan selepas menewaskan China 2-0 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Skuad negara yang dibarisi Muhamad Shahalril Aiman, Norfaizzul Abd Razak, Amirul Zazwan dan Muhammad Afifuddin berdepan masalah untuk memenangi set pertama apabila China dilihat terlebih dahulu mendapatkan mata pada set pertama.

China yang menurunkan Zhang Ruhao, Fan Xu, Wu Haoran, dan Lu Shuren menunjukkan kesungguhan mereka untuk mendapatkan mata pertama apabila mendahului 7-2 sebelum Malaysia memintas saat-saat akhir dan seterusnya memenangi 15-10 pada set pertama.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sampai 25 minit tewaskan Nepal, coach akui skuad double masih cari mood

BACA LAGI: Piala Asia Astaf: Kelebihan laman sendiri, kualiti pasukan buatkan negara berpeluang cerah

Memasuki set kedua, Malaysia dan China melakukan pertukaran apabila skuad bimbingan Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif membawa masuk Muhammad Fetri Mohd Azwadi. Manakala, China pula mengeluarkan dua pemain.

Set kedua menyaksikan pasukan Malaysia pula tidak mengeluarkan tenaga yang banyak untuk menewaskan skuad bimbingan Han Guangcheng dan akhirnya keputusan 15-3 memihak kepada tuan rumah.

Kepayahan skuad kuadran mendapatkan rentak pada set pertama juga diakui oleh Mohammad Zulkarnain apabila terkejut China boleh mendahului seketika permainan.

“Memang kita pada awalnya nampak macam struggle sikit dan pemain masih mencari rentak tapi alhamdulillah mereka cepat bangkit. Walaupun ketinggalan agak jauh dibezakan lima point.

“Tapi mereka cepat menyesuaikan keadaan dan dapat membuat satu comeback yang luar biasa. Pada set kedua, saya tengok mereka dah selesa dan Alhamdulillah permainan meningkat,” katanya selepas perlawanan.

Menjelang perlawanan kedua bertemu Filipina pada pukul 8:00 malam Sabtu, Mohammad Zulkarnain berharap anak-anak buahnya akan memperbaiki aspek serangan dan pukulan mereka.

Untuk rekod, Filipina ditewaskan 0-2 di tangan Jepun pada aksi pertama mereka di venue sama.

“Saya tekankan dekat pemain saya, perlu perbaiki serangan. Dari segi pukulan kita kalau boleh kurangkan kesilapan. Kesilapan di situ akan memberi mata kepada pihak lawan.

“Kami menumpukan setiap pasukan. Kami tak pandang jauh dulu, kami akan fokus pada lawanan yang akan datang. Jadi, step by step. Semua orang nak menang kan? Insha-ALLAH saya yakin dengan pemain saya," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram