'Dulu pemain bola sepak, kini tukang gunting rambut', bekas bintang Perak FC, kelab Lembah Klang enggan lagi 'pening kepala' fikir masalah gaji tertunggak


  • Podium
  • Selasa, 13 Mei 2025

Sunil sebelum ini beraksi bersama Bunga Raya Damansara FC dalam saingan Liga Semi-Pro A1 sebelum kontraknya tamat pada April 2024. — Instagram/sunil.chandran99

SATU sesi potong rambut biasa telah menjadi titik permulaan kepada lembaran baharu dalam dunia keusahawanan buat pemain bola sepak, Sunil Chandran, yang kini lebih bersedia mengawal masa depannya baik di atas padang mahupun dalam kehidupan peribadi.

Dalam suasana bola sepak tempatan yang tidak menentu, dengan kontrak yang boleh berubah-ubah serta isu gaji yang sering berulang, pemain berusia 25 tahun itu, yang pernah beraksi bersama kelab Liga Super seperti Perak FC, Petaling Jaya City dan PKNS mengambil langkah awal untuk menjamin masa depannya.

Pemain sayap kiri itu kini bergelar usahawan selepas membuka sebuah kedai gunting rambut bernama Balrcutz yang terletak di Jaya One, Petaling Jaya, Selangor bersama rakan baiknya, Sachin Samuel yang juga merupakan bekas pemain PKNS dan Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] Pengganti Park Tae-su pernah ‘dicemburui’ VAR, terbabit kontroversi layangan kad kuning bertukar ‘straight’ merah

“Sebenarnya, idea untuk buka kedai gunting rambut ini muncul secara spontan.

“Saya dan Sachin memang selalu berbincang tentang idea bisnes. Suatu hari, semasa saya tengah potong rambut, dia mesej tanya sama ada saya berminat nak buka kedai. Masa tu saya anggap ia sekadar gurauan," kata Sunil sambil tersenyum.

Sunil Chandran (belakang, kiri) menubuhkan kedai gunting rambut bernama Balrcutz bersama rakan baiknya, Sachin Samuel. — Instagram/sunil.chandran99

Namun, beberapa bulan kemudian, Sunil ternampak satu unit kedai kosong untuk disewa di Jaya One. Dia segera menghubungi Sachin dan mereka mula merangka langkah menjadikan idea spontan itu akhirnya bertukar menjadi kenyataan.

Menurut Sunil, dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang asing baginya kerana minat terhadap keusahawanan sudah lama berputik.

“Saya suka menyelesaikan masalah dengan cara kreatif. Ramai kawan saya yang berjaya dalam perniagaan dan itu turut memberi inspirasi. Mak dan ayah saya juga selalu ingatkan bahawa kerjaya sebagai pemain bola tidak kekal lama, jadi kena ada pelan kedua.

“Saya memang kurang minat belajar secara akademik, tapi saya sangat suka membina sesuatu dari bawah," jelasnya.

Hakikatnya, industri bola sepak di Malaysia semakin mencabar, terutamanya dari segi kestabilan kewangan. Isu gaji lambat atau tidak dibayar semakin berleluasa.

“Masalah gaji makin meruncing. Bila usia makin meningkat, tekanan untuk mendapatkan pendapatan tetap semakin terasa. Saya hanya mahu terus bermain bola dengan tenang tanpa memikirkan soal kewangan.

“Sebab itu saya ambil keputusan untuk bina pendapatan luar bola sepak. Apa yang saya dapat daripada bola sekarang, saya anggap sebagai bonus,” katanya.

Sunil Chandran (kanan) bersama rakannya, Sachin Samuel. — Instagram/sunil.chandran99

Sunil turut menyarankan agar rakan-rakan pemain lain supaya tidak menunggu dan mula mencari pendapatan alternatif seawal mungkin.

“Cuba cari sumber pendapatan sampingan. Dalam sehari, ada banyak masa dan pelbagai cara untuk jana pendapatan. Sama ada berniaga atau lakukan kerja sambilan, yang penting ia memberi pendapatan dan kepuasan.

"Dengan keadaan industri bola yang tidak stabil, kita memang perlukan ‘pelan B’,” katanya lagi.

Buat masa ini, Sunil yang kali terakhir beraksi bersama Bunga Raya Damansara FC dalam saingan Liga Semi-Pro A1 mengakui masa depannya dalam bola sepak masih belum pasti.

“Setakat ini, kebanyakan pasukan belum memulakan persiapan untuk musim baharu, jadi saya sendiri pun masih belum tahu perancangan seterusnya.

“Namun, kalau masih ada peluang dan badan saya masih mampu, saya akan terus bermain. Walaupun dah banyak kali cedera, minat saya terhadap bola sepak tetap kuat,” ujarnya. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram