[VIDEO] Pengganti Park Tae-su pernah ‘dicemburui’ VAR, terbabit kontroversi layangan kad kuning bertukar ‘straight’ merah


  • Podium
  • Selasa, 13 Mei 2025

Pemain tengah Western Sydney Wanderers, Dean Pelekanos. — Instagram/deanpele

KEM Sabah FC kini boleh menarik nafas lega apabila dikhabarkan bakal menerima kehadiran pemain import baharu dari Australia bagi memperkuatkan skuad menjelang musim 2025/26.

Perkembangan positif itu dikongsi oleh pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran menerusi satu hantaran di platform media sosial X baru-baru ini.

Pemain yang dimaksudkan ialah Dean Pelekanos, pemain tengah Western Sydney Wanderers yang kini dilihat sebagai calon ideal untuk menggantikan peranan yang ditinggalkan oleh tonggak import terdahulu, Park Tae-su dari Korea Selatan.

BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka

BACA LAGI: Jodoh berakhir di JDT, Ruo Han berpotensi ikut jejak Safawi Rasid ke NSFC

Menariknya, selain posisi asalnya sebagai pemain tengah, Pelekanos yang berusia 24 tahun turut mempunyai kebolehan beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan juga bek tengah jika diperlukan, satu nilai tambah besar buat Sang Badak.

Sepanjang musim 2024/25 bersama Wanderers, Pelekanos membuat 14 penampilan dan mencatat satu bantuan gol dalam saingan A-League.

Namun, kariernya musim lalu tidak terlepas daripada kontroversi apabila dia pernah dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Macarthur FC dalam saingan Isuzu UTE A-League Men pada 1 Januari 2025.

Insiden tersebut berlaku apabila pengadil perlawanan, Casey Reibelt yang pada awalnya hanya mengeluarkan kad kuning, namun selepas semakan melalui sistem VAR, kad tersebut bertukar kepada warna merah.

Pelekanos didapati melakukan kekasaran terhadap pemain lawan yang berada dalam kedudukan menjaringkan gol yang jelas.

Walau bagaimanapun, itu merupakan satu-satunya kad merah yang dikutip olehnya sepanjang 14 penampilan musim tersebut, satu statistik disiplin yang masih dianggap terkawal.

Jika perpindahan itu menjadi kenyataan, Pelekanos dijangka membawa bukan sahaja kekuatan fizikal dan taktikal ke jentera tengah Sabah FC, malah semangat kepimpinan yang pernah ditunjukkannya sejak di peringkat remaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram