Ketepikan Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobat Olahragawan Negara, Bonnie Bunyau Gustin ungguli kategori Paralimpik


  • Podium
  • Selasa, 13 Mei 2025

Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dinobatkan Olahragawan. — Facebook/MSN

GANDINGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mengetuai senarai penerima Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan.

Menariknya, anugerah itu merupakan kali kedua mereka menerima pengiktirafan berprestij tersebut, selepas merangkul gelaran sama pada 2022.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi antara faktor yang membolehkan pasangan Nombor 5 dunia itu diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan.

BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] Pengganti Park Tae-su pernah ‘dicemburui’ VAR, terbabit kontroversi layangan kad kuning bertukar ‘straight’ merah

Bonnie ungguli Kategori Olahragawan Paralimpik 2024— Facebook/MSN

Selain pingat gangsa Sukan Olimpik 2024, mereka juga muncul juara kejohanan Korea Masters serta menjadi naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selain mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Sementara itu, jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin turut mencuri tumpuan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Olahragawan Paralimpik 2024 mengukuhkan statusnya sebagai antara atlet paralimpik terbaik negara. 

Atlet kelahiran Serian, Sarawak itu bukan sahaja mempertahankan pingat emas dalam kategori 72 kilogram (kg), malah dia juga berjaya mencatat rekod dunia menerusi angkatan 232kg, memadam rekod lama miliknya 231kg.

Bonnie merangkul anugerah tersebut selepas mengetepikan saingan rakan seperjuangan termasuk Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga), Eddy Bernard (para olahraga) dan Cheah Liek Hou (para badminton).

Nor Farah Ain Abdullah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan. — Facebook/MSN

Di samping itu, jaguh boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah pula dinamakan sebagai Olahragawati Kebangsaan dengan mengatasi saingan Sin Li Jane (tenpin boling), Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat).

Nor Farah mencipta sejarah sebagai atlet boling padang pertama meraih anugerah terunggul ASN itu dan dikenali selepas muncul juara Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey.

Penyampaian anugerah Olahragawan disempurnakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, manakala anugerah Olahragawan Paralimpik disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram