
KELAB gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mengatasi cabaran kelab K1 Liga Korea, Pohang Steelers 5-2 pada aksi terakhir Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
Jaringan gol dari Oscar Arribas, Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi, Jese Rodrguez dan sepakan penalti Jorge Obregon pada babak kecederaan separuh masa kedua menutup malam gemilang JDT di peringkat kumpulan pentas Asia itu.
Manakala, Lee Ho-Jae dan Hyeon je-kang pula memberi dua gol untuk Pohang Steelers selepas berhasil menewaskan penjaga gol import Harimau Selatan, Andoni Zubiaurre pada minit ke-27 dan 80 permainan.
BACA LAGI: JDT lebur rekod buruk, tundukkan Pohang demi aksi lebih mudah di pusingan ke-16 ACLE
BACA LAGI: Tuah atau sial jadual beri tekanan kepada Kuching City FC kekalkan sasaran top 6
18 Februari 2025 pastinya menjadi detik manis buat semua keluarga JDT termasuk untuk bintang import Sepanyol, Jese Rodriguez yang akhirnya meledak gol debut ACLE bersama Harimau Selatan.
Jese yang pada awal menerima kritikan daripada penyokong dek aksi hambarnya berhasil menutup mulut mereka dengan aksi cemerlangnya selepas pemain berusia 31 tahun itu dimasukkan pada minit ke-83.
Dia yang digelar 'supersub' itu bukan hanya menggembirakan penyokong tempatan, malah menarik perhatian antarabangsa apabila akaun rasmi La Liga memuat naik video gol debutnya di Asia, menunjukkan pengaruh global dibawa oleh Jese.
"Raja bola sepak. Debut Jese dalam kejohanan Asia," tulis akaun rasmi La Liga baru-baru ini pada laman TikTok.
Kehadiran Jese sebagai bekas bintang Real Madrid jelas membantu JDT untuk lebih dikenali dalam kalangan penyokong La Liga. Penyokong akan berminat untuk mengetahui perkembangan bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu.
Pemain dengan gelaran Liga Juara-Juara UEFA (UCL) tersebut dibawa masuk skuad Harimau Selatan selepas bergelar ejen bebas berikutan pembatalan kontrak dengan kelab Brazil, Coritiba FC.
Dalam pada itu, kemenangan berkenaan menyaksikan skuad bimbingan Hector Bidoglio naik satu anak tangga daripada kedudukan keempat dengan mengumpul 14 mata selepas beraksi tujuh perlawanan.
Kedudukan tempat ketiga itu juga berlaku disebabkan penarikan diri kelab China, Shandong Taishan.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan Taishan dianggap telah menarik diri daripada saingan di bawah Artikel 5.2 Peraturan Pertandingan selepas memaklumkan tidak menyertai perlawanan peringkat kumpulan menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan yang dijadualkan pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram