
BEKAS penjaga gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat baru-baru ini berkongsi perjalanan kariernya sebagai pemain bola sepak dalam podcast 'Sembang Pantai Timur' terbitan THR Gegar.
Dalam sesi tersebut, pemain berusia 36 tahun itu meluahkan keyakinan bahawa pasukan Kelantan akan kembali ke zaman kegemilangannya.
Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek itu turut memberi pandangan berkenaan isu gaji yang kini hangat diperkatakan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), lapor Stadium Astro.
BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka
“Ketika bersama PKNS dahulu, gaji saya cuma RM1,500. Hidup di Kuala Lumpur waktu itu memang rasa susah, makan maggi pun dah biasa.
"Banyak faktor mempengaruhi, terutamanya kewangan dan siapa yang urus pasukan. Apa pun bermula dari pihak pengurusan. Kalau pengurusan kucar-kacir, susah nak berjaya. Tapi pada pandangan saya, Kelantan akan pulih,” katanya.
Apek optimis Kelantan mampu bangkit semula sekiranya berada di bawah pengurusan yang tepat dan teratur. — Facebook/Sabahfc
Khairul turut mengulas situasi semasa melibatkan tunggakan gaji pemain di beberapa kelab tempatan.
“Sekarang ini memang banyak kita dengar masalah gaji. Saya faham, ada pasukan yang memang tak mampu nak bayar.
"Terpulang kepada pemain untuk bertahan atau tidak. Saya sendiri pernah lalui malah pernah bermain hingga empat bulan tanpa gaji," ujarnya.
Sebagai pemain profesional dengan pengalaman lebih 15 tahun, Apek menjelaskan bahawa walaupun masih bersemangat untuk terus belajar tentang bola sepak, dia tidak menolak kemungkinan untuk menceburi bidang kejurulatihan pada masa depan.
“Perancangan untuk jadi jurulatih masih belum difikirkan secara serius, tapi mungkin saya akan ambil lesen. Tanggungjawab jurulatih jauh lebih besar berbanding pemain," kongsinya.
Khairul turut menyebut tiga nama pelapis penjaga gol yang diyakininya mampu meneruskan legasinya dalam menggalas tugas sebagai benteng terakhir.
“Ahmad Syihan Hazmi, Kalamullah Al-Hafiz dan Muhammad Haziq Nadzli, mereka antara yang ada potensi besar," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram