Pernah beri 'hint' mahu bersara, Fandi Ahmad kini dikait tugas baharu di Lembah Klang


  • Podium
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Fandi Ahmad pernah menyatakan hasrat untuk menamatkan karier dalam dunia kejurulatihan sebelum ini. — Facebook/Sri Pahang FC

URA-URA mengatakan skuad Tok Gajah tidak akan bertanding musim depan semakin kuat kedengaran selepas tiada pihak tampil menyatakan hasrat menyelamatkan kelab tersebut dari segi kewangan.

Ini selepas pemilik semasa, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad menyatakan pengunduran daripada tampuk pemerintahan pasukan selepas Sri Pahang FC tewas di pentas final Piala Malaysia 2024/25.

Pembubaran tersebut menyaksikan kelab tempatan lain bersedia menawarkan kontrak buat mana-mana pemain berkualiti, lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih berada di usia muda.

BACA LAGI: Fandi dah siap bungkus barang, pulang Rabu ini dan tak tahu akan kembali

BACA LAGI: Fandi digamit nostalgia final Piala FA 2015

Skuad Tok Gajah dilaporkan tidak akan bersaing musim depan disebabkan isu kewangan serius. Facebook/Sri Pahang FC

Namun, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad juga difahamkan berada dalam sasaran pasukan Liga Super iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC yang turut melakukan rombakan besar-besaran bagi musim akan datang.

Pemerhati bola sepak tempatan, T Avineshwaran dalam satu ciapan pada Khamis menyatakan kelab Lembah Klang tersebut bersedia mendapatkan khidmat ketua jurulatih dari Singapura terbabit.

"Semasa dalam sesi sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, dia memberi gambaran untuk bersara. Tetapi, dia seperti bersedia kekal dalam dunia kejurulatihan.

"Fandi Ahmad difahamkan berpotensi menjadi pengendali akan datang buat KL City FC. Dengan Pahang juga seperti akan dibubarkan, ia mampu menjadi realiti," tulisnya.

Kuljanac yang meninggalkan impak membanggakan buat skuad Warga Kota difahamkan tidak dikekalkan. Facebook/Kuala Lumpur City

Musim lalu, skuad Warga Kota berada di bawah bimbingan Miroslav Kuljanac yang membawa mereka ke kedudukan keenam Liga Super meskipun dikenakan pemotongan enam mata berikutan isu kewangan.

Bagaimanapun, dalam usaha mengurangkan kos operasi pasukan selepas ini, kelab tersebut dilaporkan mahu membuat perubahan terhadap barisan kejurulatihan dengan Fandi Ahmad menjadi antara calon utama.

Selain pengendali Sri Pahang FC itu, beberapa jurulatih lain turut berada dalam senarai pendek seperti Sulaiman Hussin dan S Balachandran yang masing-masing turut memiliki pengalaman luas dalam Liga Super.

Tetapi, Fandi sudah tentu menjadi pilihan penyokong setia skuad Warga Kota kerana dia merupakan legenda kelab selepas pernah beraksi di sana pada zaman kegemilangan mereka sekitar era 1980-an.

Rekodnya dalam arena bola sepak tempatan juga lebih meyakinkan kerana selain membimbing Sri Pahang FC, dia juga pernah bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Lions XII. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram