
NAMA Ibrahim Manusi menjadi tumpuan terutamanya selepas persembahan baiknya untuk Sri Pahang FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia.
Walaupun tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), namun persembahan Ibrahim mendapat perhatian hingga dia diberikan jolokan Patrick Vieira versi Liga Super.
Usai perlawanan tersebut, Ibrahim menjadi perhatian dengan dia dikaitkan dengan tiga kelab bagi musim depan.
BACA LAGI: TFC-Selangor-Penang berebut dapatkan tandatangan Patrick Vieira versi Sri Pahang
BACA LAGI: Selangor patut bawa pulang anak jati Paya Jaras sebagai jeneral Gergasi Merah
Ibrahim (kiri) semakin hampir berpindah ke kelab Lembah Klang. — Sri Pahang FC
Laporan terdahulu menyebut yang Ibrahim dikaitkan dengan Selangor FC, Terengganu FC dan juga Penang FC bagi musim hadapan.
Akan tetapi, laporan terkini mendapati yang sebuah kelab berpusat di Lembah Klang sudah berada satu langkah di hadapan dalam misi mendapatkan Ibrahim.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan walaupun kelab Lembah Klang yang tidak dinamakan itu mempunyai kelebihan dalam mendapatkan Ibrahim, namun ia bergantung kepada situasi Sri Pahang sama ada mereka akan terus bertanding dalam Liga Super atau tidak.
Hal ini kerana, Sri Pahang masih mempunyai pemilikan terhadap pemain tersebut sehingga 2027.
"Ibrahim Manusi bakal sertai sebuah pasukan Lembah Klang, namun bergantung kepada status Sri Pahang. Difahamkan, kontrak Baim bersama Tok Gajah berakhir 2027," kata Zulhelmi.
Walaupun tanpa menyebut nama, berkemungkinan besar kelab yang bakal dituju itu adalah Selangor dengan usaha mereka mencari pemain baharu bagi mengisi bahagian pertahanan dan tengah selepas pemergian Safuwan Baharudin.
Akan tetapi, tidak terkejut jika tiba-tiba Kuala Lumpur City FC atau PDRM FC yang berjaya menyambarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram