Fandi digamit nostalgia final Piala FA 2015


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Fandi hanya mahu anak-anak buahnya menikmati final Piala Malaysia bertemu JDT pada Sabtu.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

RIUH-RENDAH bunyi di sekelilingnya ketika panggilannya melalui WhatsApp kepada saya dibuat menjelang waktu Maghrib pada Jumaat. Ini susulan soalan saya melalui WhatsApp sama ada dia masih mengingati jelas final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 23 Mei 2015.

“Tentu saya ingat,” katanya dalam panggilan itu dengan meninggikan sedikit suaranya disebabkan bunyi bising daripada perbualan sesama pemain yang menenggelami sedikit percakapannya.

“Maaflah kami di dalam bas menuju balik ke hotel selepas baru habis latihan terakhirdi stadium menjelang final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim,” sambungnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Enggan isu lama berulang, Fandi harap final Piala Malaysia tak berat sebelah

BACA LAGI: Rembatan terkena tiang, kad merah menghiasi pertemuan terakhir JDT-Sri Pahang di pentas final Piala Malaysia

Apa relevannya final Piala FA 2015 itu dengan aksi kemuncak Piala Malaysia 2024/2025? Kepada Fandi, ada sedikit persamaan kalau pun tidak banyak.

Pertamanya, itu adalah final pertama Fandi selaku ketua jurulatih dalam aksi Liga Malaysia dengan membimbing barisan muda LionsXII untuk berdepan skuad Kelantan yang lebih berpengalaman bimbingan jurulatih, Azraai Khor Abdullah.

Kedua, LionsXII adalah pasukan ‘underdog’ dibandingkan dengan Kelantan – juara 2012 dan 2013 yang antara lain membariskan Khairul Fahmi Che Mat, Amiridzwan Taj Tajuddin, Badhri Radzi, Wan Zack Haikal Wan Noor, Gilmar da Silva dan Erwin Carrillo.

Seperti apa yang Fandi ingat, kesebelasannya tidak pun memiliki pemain import melainkan bergantung harap kepada pemain muda termasuk Faris Ramli, Sahil Suhaimi, Khairul Amri Kamal dan penjaga gol, Izwan Mahbud.

Selepas hanya enam minit, satu hantaran lolos jauh menemui Faris di hadapan kotak penalti lalu menggelecekkan penjaga gol, Khairul Fahmi, untuk mudah menolak masuk. LionsXII 1-0 di depan.

The Red Warriors yang memburu gelaran hatrik Piala FA tidak mudah patah semangat. Dari satu sungkitan Gilmar, Wan Zack Haikal mudah membuat penyudahan menewaskan Izwan yang meluru ke arahnya untuk menutup ruang pada minit ke-62.

Minit-minit seterusnya menyerlahkan kejaguhan pemain gantian, Sahil, dengan ledakan dua gol.

Melarikan bola di celah-celah tiga pemain pertahanan pada minit ke-80, dia menewaskan Khairul Fahmi dengan rembatan leret untuk membunuh semangat melawan Kelantan. LionsXII 2-1 di depan.

Menuju ke masa kecederaan, dia bingkas bangun selepas dijatuhkan Amiridzwan untuk menyudahkan sendiri sepakan penalti yang memastikan LionsXII dijulang selaku juara dengan kemenangan 3-1 -- trofi pertama mereka sejak menyertai Liga Malaysia pada 2012.

Fandi mengingati setiap detik daripada saat-saat manis itu kerana ia memberikan dia kejuaraan pertama selaku jurulatih dalam aksi bola sepak Malaysia.

“Sebenarnya itu bukan trofi pertama saya sebagai jurulatih. Saya pernah membimbing SAFFC menjadi juara Liga Singapura pada tahun 2000 dan sekali lagi pada 2002,” katanya sambil turut menjadi penolong jurulatih ketika Singapura menjuarai Piala Tiger pada 2005.

“Tapi ya, final Piala FA 2015 itu adalah kejuaraan pertama saya selaku jurulatih dalam aksi piala bagi pertandingan yang dianjurkan Malaysia.

“Pada musim pertama saya sebagai jurulatih JDT, kami kurang bernasib baik apabila tewas kepada Kelantan 1-0 dalam final Piala FA 2013,” tambahnya.

Fandi ketika membimbing JDT dalam final Piala FA 2013.

Maknanya dia sudah merasa kegembiraan dan kekecewaan sebagai jurulatih dalam aksi final piala di bumi Malaysia – dengan kejayaan bersama LionsXII pada 2015 itu ibarat menjadi penebus duka buatnya.

Jadi, apakah Fandi melihat ada persamaan terhadap peluang Sri Pahang FC selaku pasukan ‘underdog’ kendaliannya dalam final Piala Malaysia malam nanti dengan LionsXII yang mengejutkan Kelantan dalam Piala FA, 10 tahun lalu?

Jawapan jurulatih berusia 62 tahun itu mungkin tersirat dalam sidang media pra-perlawanan akhir pagi semalam: “Pemain kita tiada tekanan dan bebanan kerana dalam beberapa perlawanan terakhir (liga), mereka beraksi secara bebas. Bukan senang berdepan pasukan seperti Perak FC dan Sabah FC, kita tiada harapan lagi untuk liga dan tumpuan kita dalam Piala Malaysia.

"Jadi, penting bagi mereka tahu tujuan serta tugas mereka dan penting bagi pemain untuk tahu bermain buat pasukan, bukan untuk individu, kerana matlamat beraksi untuk pasukan, kalah menang tidaklah begitu terasa." 

Sri Pahang FC dan JDT akan berentap untuk menjulang trofi Piala Malaysia 2024/25. — Facebook/MFL

Tambah Fandi, dalam aksi final piala, apa saja boleh berlaku – sama seperti skuad muda LionsXII bimbingannya yang memeranjatkan Kelantan dulu.

“Anda dengar bunyi bising dalam bas ini, kan? Ia seperti pemain-pemain saya tiada apa-apa kerisauan, mereka tak kisah pun apa orang fikir terhadap mereka (akan kalah dan mungkin kalah besar).

“Semua gembira mahu beraksi dalam final. Menang atau kalah, kami sebagai sebuah pasukan mahu menikmati perlawanan malam esok (ini),” katanya sebelum menamatkan panggilan.

Dan kepada Fandi, itu satu petanda yang sangat baik di samping jangkaan doa lebih ramai rakyat Malaysia akan memihak kepada Sri Pahang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram