‘Benda ni nak tengok dekat Kedah’, kepak Kenari cemburu lihat Selangor agresif jalin kerjasama


  • Podium
  • Rabu, 07 Mei 2025

Selangor (kiri) menjalinkan kerjasama bersama Super GT sementara Kedah (kanan) masih berusaha keluar daripada masalah kewangan.

GERGASI Liga Super, Selangor FC memastikan usaha mereka memajukan kelab tidak terhenti walaupun musim sudah berakhir.

Pada Rabu, kelab Lembah Klang itu mengumumkan kerjasama dengan Haro Sport & Entertainment yang menghubungkan kelab itu dengan Super GT Malaysia sebagai rakan strategik.

Menurut Selangor, kerjasama itu akan membantu mendekatkan antara sukan bola sepak dan dunia permotoran, sekali gus mengukuhkan jenama Gergasi Merah di persada antarabangsa.

BACA LAGI: Disebut bakal sarung jersi Selangor, siapakah Andres Nieto yang menggegar di Kemboja?

BACA LAGI: TFC-Selangor-Penang berebut dapatkan tandatangan Patrick Vieira versi Sri Pahang

"Ini bukanlah kali pertama sukan bola sepak dan sukan permotoran digabungkan buat Selangor FC, namun, kerjasama ini bertujuan memberikan pengalaman baharu kepada kedua-dua industri sukan ini serta meluaskan lagi nama kelab di persada antarabangsa," kata Selangor.

Kerjasama antara Selangor dengan Super GT itu jelas disambut baik oleh penyokong mereka yang mahu melihat kelab terus mara ke hadapan dalam pelbagai aspek.

Tanpa disedari, usaha Selangor itu mendapat perhatian daripada penyokong kelab lain yang cemburu melihat kerja keras Gergasi Merah untuk terus bertapak dalam bola sepak Malaysia.

Seorang penyokong Kedah Darul Aman FC meluahkan isi hatinya dengan berharap satu hari kelab kesayangannya turut berada pada tahap seperti Selangor dan stabil dalam bola sepak Malaysia.

"Sebagai penyokong Kedah benda ni aku nak tengok dekat Kedah tapi apa boleh buat (cuma) dapat tengok tengok pasukan lain. Terbaik Selangor FC," kata Suhaimi Hamid.

Komen Suhaimi itu mendapat perhatian penyokong Selangor dengan mereka turut berharap Kedah akan bangkit pada masa akan datang.

"Insya-ALLAH, nanti Kedah akan macam ni. Mungkin sekarang nak fokus kepada pembangunan dan perniagaan baru naik," komen Nadzmie Shah.

"Selangor FC bukan untuk rakyat Selangor sahaja, tapi terbuka untuk semua peminat bola sepak. Insya-ALLAH kita doa sama-sama agar Kedah kembali bangkit dalam arena bola sepak di Malaysia ni," ujar Akram Al-Banjariy. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram