Fandi dah siap bungkus barang, pulang Rabu ini dan tak tahu akan kembali


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 28 Apr 2025

Setakat ini, masa depan Fandi dan pasukan belum mendapat sebarang kepastian.— Facebook/SriPahang

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

SELEPAS hampir tiga tahun di Kuantan, tiba masanya Fandi Ahmad mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan serta rakan-taulan – cuma kali ini ketua jurulatih Sri Pahang FC itu tidak tahu sama ada dia akan kembali ke sana dalam tempoh beberapa bulan.

“Saya sudah siap berkemas untuk pulang ke Singapura pada Rabu ini. Kali ini, saya tidak tinggalkan apa-apa di Kuantan. Semua yang perlu dibawa pulang sudah dimasukkan (dalam beg dan kotak), selebihnya saya mahu beri kepada kawan-kawan,” kongsinya dengan Bola Pegun.

Apa bezanya kepulangannya ke Singapura kali ini? Berbanding tiga tahun terakhir apabila kepulangannya adalah secara berjadual setelah tamat musim pertandingan, kali ini dia benar-benar tidak tahu apakah dia akan diperlukan kembali ke Kuantan.

BACA LAGI: 'Bola sepak Malaysia terlalu mahal,' kerajaan Perak tak mampu selamatkan TBG

BACA LAGI: Jangan tunggu-tunggu, usahawan, jutawan Kelantan ditagih segera selamatkan bola sepak Cik Siti Wan Kembang

Selain ada mendengar pemilik Sri Pahang FC, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, sudah menyatakan akan berundur daripada bola sepak apabila musim baru 2025/2026 bermula dijangka pada Ogos nanti, setakat ini dia dan pasukan belum mendapat sebarang kepastian.

Dalam temu bual Astro Arena selepas perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyatakan rasa sedih kerana Sri Pahang FC tidak akan kembali menghangatkan saingan musim depan.

Tengku Abdul Rahman pula seakan-akan mengeyakan perkara itu apabila secara ringkas menyebut hasratnya untuk berundur dengan selesainya musim Liga Malaysia 2024/2025 selepas menamatkan perlawanan terakhir dengan bergelar naib juara Piala Malaysia usai kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Temu bual itu yang tidak sempat ditonton Fandi hingga dia berulang kali meminta kepastian – sesuatu yang pasti akan didapatinya apabila menemui Tengku Muda Pahang untuk mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal sebelum berlepas pulang.

Tengku Abdul Rahman menyebut hasratnya untuk berundur musim Liga Malaysia 2024/2025. — Facebook/SriPahang 

Ditemani penganalisis pasukan serta teman serumahnya di Apartmen Sejahtera, Kuantan, Rudie Imran Masih, terlalu banyak kenangan yang Fandi kongsi bersama rakan baiknya itu hingga kedua-duanya berasa seperti semuanya baharu saja berlaku ketika Fandi dilantik penasihat teknikal Sri Pahang FC pada 21 Julai 2022.

Kerana persahabatan akrabnya dengan Tengku Muda Pahang, dia menolak tawaran pasukan dari Indonesia dan Malaysia untuk menjadikan Kuantan tempat tinggal baharunya. 

Daripada pasukan yang berkedudukan ketujuh dalam liga pada 2022, Fandi yang mengambil alih tugas ketua jurulatih daripada jurulatih interim, Datuk Dollah Salleh, pada awal 2023 selepas Christophe Gamel meletak jawatan, menyaksikan Sri Pahang meningkat ke tangga kelima pada penghujung musim berkenaan.

Perjalanan mereka dalam liga bagi musim 2024/2025 tidak secantik diinginkannya apabila kerap singgah di tangga ke-10 atau 11 sebelum menamatkan musim di tangga kelapan.

“Sebenarnya, kami menyasarkan Top 4 dalam liga. Tapi apabila itu gagal dicapai, saya mengajak pemain-pemain supaya berhabis-habisan dalam Piala Malaysia dan cuba memenanginya sebagai penebus.

“Ah bercakap pasal Piala Malaysia, kami sudah terlalu hampir (untuk jadi juara) tapi kesudahannya kami terkandas disebabkan faktor-faktor di luar kawalan kami. Semua sudah menontonnya dan boleh membuat penilaian sendiri, tak perlulah saya menghuraikannya lagi,” katanya.

Belum ada kata putus tentang masa depan Fandi di Pahang. — Facebook/SriPahang 

Fandi juga berkongsi dia hanya tidur sejam pada jam 5 pagi selepas perlawanan akhir yang ‘malang’ itu, menghabiskan masa di hotel pasukan dengan berbual-bual mengenai apa yang berlaku – tidak terkecuali Sri Pahang dikhianati salah seorang pemainnya sendiri.

“Saya tidak marah kerana apa yang kami tidak jangka akan berlaku, akhirnya berlaku juga. Malah, saya dan pemain-pemain, kami semua happy dalam bilik persalinan selepas game, kerana kami telah beri yang terbaik.

“Tengku Muda datang beri tahniah, katanya terkejut dengan persembahan baik Sri Pahang. Kena ingat juga yang kami ke final selepas singkir dua pasukan Top 3 liga, Selangor dan Sabah.

“Final kami hadapi JDT. Saya tahu ramai yang fikir kami akan kena seperti Selangor (tewas 1-6 dalam final Piala FA). Tiada dua pemain utama (Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo), kami dapat saingi JDT hingga kami hilang seorang pemain kerana kad merah. Walaupun seorang pemain JDT juga dibuang padang selepas itu, ternyata mereka lebih ‘bertuah’.

“Keadaannya seolah-olah hampir setiap terjahan pemain saya adalah kesalahan kad kuning tapi pemain lawan buat lebih teruk tak kena pula,” tambahnya enggan menghuraikannya lebih lanjut.

Kpah antara import cemerlang Tok Gajah pada musim ini. — Facebook/SriPahang 

Dalam sidang media pasca-perlawanan, Fandi, genap 62 tahun pada 29 Mei ini, turut membuat kejutan dengan membayangkan kesediaannya untuk bersara.

Apakah itu kenyataan secara spontan atau sesuatu yang sedang dipertimbangkannya? Jawapannya adalah kedua-duanya.

“Waktu itu saya main sebut saja pasal nak bersara. Saya ada fikirkannya sepanjang satu tahun lalu tapi bukan dalam masa terdekat. Lagipun, isteri saya tak akan benarkan saya yang jenis tak boleh duduk diam, tidak bekerja. Dia bimbang saya akan jadi murung,” katanya.

Jadi, apa perancangan seterusnya?

Saya, sebagai seorang wartawan tua, tahu saya akan terus menghubunginya untuk temu bual menjelang musim baharu bermula nanti – kalau bukan di Kuantan tapi di Malaysia juga.

“Ya, anda boleh katakan saya ada dapat tawaran sebuah pasukan Liga Malaysia tapi belum ada apa-apa dimuktamadkan.

“Apa-apa pun, Tengku Muda kata saya perlu beri keutamaan kepada Sri Pahang jika khidmat saya diperlukan. Jadi, kita akan lihat saja nanti,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram