
PERAK FC perlu melakukan perubahan besar-besaran dari segi kewangan untuk memastikan mereka boleh bersaing dalam Liga Super musim hadapan.
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, maksimum gaji sebanyak RM20,000 saja boleh ditawarkan kelab itu kerana jika lebih daripada itu, ia diluar kemampuan.
Kata Abdul Puhat, Perak mesti bermula semula daripada bawah dengan struktur gaji yang bersesuaian dan berkos rendah.
BACA LAGI: [VIDEO] Ada 3 syarikat tunjuk minat ambil alih Perak — Pengerusi Perak
BACA LAGI: Pemain makin lanjut usia, kelab Brunei perlu sambar tonggak Perak-Kedah-Pahang jika ke Liga Super
Perak dilaporkan menarik diri daripada Liga Super kerana kekangan kewangan. — Perak FC
"Apa yang saya nampak sekarang bola sepak terlalu banyak gunakan duit. Pemain ditawarkan dengan gaji sehingga RM40,000 hingga RM60,000 sebulan yang di mana pasukan-pasukan tidak mampu.
"Semasa saya menguruskan Perak, bajet bulanan kami sekitar RM1.5 juta dan itu sudah pun dikira tinggi pada masa tersebut, lapan tahun lalu.
"Untuk gaji, kita mesti tetapkan kepada RM20,000 atau ke bawah. Tidak semestinya kena bawa nama besar, tapi dalam masa yang sama, angka itu jangan terlalu rendah untuk buatkan pemain tak berminat untuk beraksi untuk Perak.
"Semua pihak perlu duduk bersama dan sepakat kepada struktur gaji yang realistik supaya kita tidak mengalami masalah serupa lagi," katanya.
Tambah Abdul Puhat, sekarang ini Perak perlu mengubah corak kelab dengan tidak lagi mencabar kejuaraan sebaliknya mencari kestabilan dahulu sebelum mula melangkah lebih jauh.
Ia adalah perlu kerana apabila kelab mula menghadkan tawaran gaji, sukar bagi mereka mendapatkan pemain berkualiti.
"Jika kita mahukan permulaan baharu, kita mesti bermula semula daripada bawah. Sasaran yang ditetapkan jangan terlalu tinggi. Berjaya menduduki kedudukan empat terbaik adalah sangat tidak realistik buat masa sekarang.
"Saya cadang untuk berada dalam kedudukan enam terbaik kerana itu langkah pertama yang bersesuaian," jelasnya. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram