
SELEPAS menampilkan persembahan cemerlang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25, saham Ibrahim Manusi meningkat naik dengan orang ramai mula sedar akan bakat dimiliki 'ubi muda' Sri Pahang FC itu.
Jadi, dengan khabar angin kuat mengatakan skuad Tok Gajah tidak akan lagi bersaing, timbul ura-ura mengatakan pelbagai kelab bersedia mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan kali ini.
Ini termasuk naib juara Liga Super musim lalu, Selangor FC yang enggan terlepas peluang mendapatkan pemain berusia 23 tahun berkenaan yang tidak kenal erti penat lelah setiap kali beraksi, meskipun Baim dikatakan turut menarik minat dua lagi kelab iaitu Kedah Darul Aman FC dan Kuching City.
BACA LAGI: Ibrahim Manusi hampiri pintu keluar Sri Pahang, kelab Lembah Klang disebut jadi destinasi
BACA LAGI: Ibrahim Manusi ikut jejak Paulo Josue, bintang Perak serta Kedah, tempa nama di pentas final
Kecemerlangan Ibrahim terserlah dalam kekalahan skuad Tok Gajah dalam pentas akhir Piala Malaysia 2024/25. — Facebook/Sri Pahang FC
Meskipun sudah memiliki lambakan pemain dalam barisan tengah, kehadiran Ibrahim mampu memberi kelebihan tersendiri kerana anak jati Paya Jaras, Selangor itu masih mempunyai ruang besar untuk memperbaiki diri.
Bagaimanapun, dia yang turut dikenali sebagai Baim itu sudah tentu berfikir-fikir untuk menyertai skuad Gergasi Merah memandangkan persaingan sengit akan menyukarkan peluangnya diturunkan dengan kerap.
Namun, menurut penilaian Majoriti, terdapat tiga sebab tonggak Tok Gajah itu tidak perlu runsing dan segera menerima tawaran kelab Lembah Klang itu pada jendela perpindahan kali ini.
1. Peluang beraksi di Asia
Berdasarkan kedudukan semasa, hanya dua kelab tempatan akan beraksi di pentas Asia setiap musim dengan juara Liga Super akan bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite sementara sebuah lagi slot dikhaskan bagi kempen ACL Two.
Tempat untuk berentap dalam ACL Elite semestinya dimiliki Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sudah berentap sejak 2015 selepas menjuarai saingan divisyen teratas bola sepak tempatan buat 11 tahun berturut-turut.
Kesempatan dan peluang beraksi di pentas Asia sukar ditolak mana-mana pemain. — Facebook/Selangor FC
Bagi slot ACL Two pula, ia dimiliki Selangor FC musim depan selepas mereka berada di tangga kedua Liga Super 2024/25, sekali gus menyaksikan kelab itu layak ke pertandingan peringkat Asia terbabit dua kali berturut-turut.
Peluang sedemikian menaikkan saham skuad Gergasi Merah dengan mana-mana pemain, termasuk Ibrahim pasti sukar menolak peluang sedemikian kerana ia menyajikan pengalaman berharga.
Sekiranya dia mahu meningkatkan keupayaan permainan, langkahnya selepas ini adalah dengan menyertai kelab Lembah Klang terbabit dengan minit permainan dalam ACL Two akan membawa perbezaan positif kepada persembahannya pada tahun-tahun akan datang.
2. Kebajikan terjamin
Beberapa musim kebelakangan ini, pelbagai kelab Liga Super sudah terjerumus dalam isu kewangan dengan Sri Pahang FC merupakan antara pasukan terbaru yang mengalami masalah terbabit.
Kemelut tersebut sudah pasti menjadi tamparan hebat buat kesemua pemain Tok Gajah, termasuk Ibrahim yang pasti terpaksa mencari sumber rezeki baharu untuk menampung perbelanjaan diri dan keluarga.
Masalah gaji dialami skuad Tok Gajah amat memilukan sepanjang musim lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Jadi, jika dia mahu keluar daripada isu berkenaan, dia perlu menyertai mana-mana kelab dengan sebarang masalah kewangan, termasuk Selangor FC yang memiliki suntikan dana mencukupi saban musim.
Peruntukan disalurkan kerajaan negeri serta pihak penaja juga dijangka bakal ditingkatkan memandangkan kelab tersebut akan berentap di pentas Asia dengan pelaburan lebih besar diperlukan.
Sekiranya masalah itu tidak membelenggu, Ibrahim pasti tidak perlu runsing berhubung masalah luar padang dialami, sekali gus membolehkannya memberi tumpuan penuh terhadap prestasinya.
3. Beraksi di samping bintang ternama
Seperti dinyatakan di atas, Selangor FC muncul sebagai naib juara Liga Super musim lalu kerana mempunyai lambakan pemain berkualiti, baik dalam kategori import mahupun lokal.
Ini termasuk Ronnie Fernandez yang pernah beraksi buat skuad antarabangsa Chile serta lambakan bintang Harimau Malaya seperti Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng dan Mukhairi Ajmal dengan kebolehan masing-masing berada dalam kelas tersendiri.
Lambakan pemain berkualiti mencipta persaingan sihat dalam pasukan. — Facebook/MFL
Hal itu sedikit sebanyak menjadi penyuntik semangat dalam diri masing-masing untuk meningkatkan mutu permainan dalam usaha meraih minit permainan lebih kerap berbanding nama-nama besar lain.
Peluang sedemikian boleh memberi ruang buat Ibrahim meningkatkan keupayaan diri selain menjadi pembakar semangat baginya memberi impak lebih baik pada tahun-tahun akan datang.
Malah, dengan bantuan barisan kejurulatihan bermutu, dia juga sudah tentu dapat menambah baik prestasinya, sekali gus membantu Selangor FC dalam apa jua peranan dan kepercayaan diberikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram