Kongsi kejayaan karier, bekas kiper Penang titip keluhan masa depan arena bola sepak lokal


  • Podium
  • Selasa, 29 Apr 2025

Khatul memiliki pengalaman luas dalam kariernya meskipun baru berusia 28 tahun. — Facebook/Penang FC

TATKALA peminat menyaksikan kemajuan bola sepak dalam negara, mereka turut disajikan dengan pelbagai masalah yang tidak pernah diselesaikan pihak pengurusan sehingga mencalarkan prestij sukan itu.

Ini termasuk isu kewangan berikutan keengganan syarikat tempatan untuk membuat pelaburan kerana masing-masing tahu bahawa keuntungan bakal diraih tidak sebesar jumlah pelaburan.

Ia secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai landskap bola sepak musim depan yang dikhuatiri semakin sepi berikutan pengunduran beberapa kelab akibat masalah terbabit.

BACA LAGI: 'Kami semua tunggu', Khatul Anuar rayu KDN bayar tunggakan gaji 7 bulan

BACA LAGI: Khatul Anuar mahu buat barisan serangan Sabah 'gigit jari' bila bertemu KDN

Khatul Anuar (dua dari kiri) berdepan masalah kewangan sepanjang semusim bersama skuad Kijang Emas. Facebook/KDN FC

Malah, kegusaran itu turut diluahkan penjaga gol Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Khatul Anuar Jalil di platform Thread berhubung arena bola sepak tempatan.

Hantaran pemain kelahiran Alor Setar, Kedah terbabit disertakan dengan senarai pencapaian pernah dikecapi itu bersama kelab-kelab disertai sepanjang kariernya.

"Juara Liga Perdana 2017, Kuala Lumpur (KL) City, naib juara dan pemain terbaik perlawanan Piala Cabaran 2019, UKM FC. Juara Piala Malaysia 2021, KL City FC. 

"Semua kenangan paling terindah di saat menjadi pemain bola sepak. Untuk masa akan datang, kita tidak pasti (apa) akan jadi dengan bola sepak Malaysia," tulisnya.

Tidak boleh dinafikan bahawa kemuncak karier penjaga gol tersebut adalah semasa beraksi di ibu kota dengan tempoh dihabiskan memberikannya peluang menjulang dua gelaran.

Khatul menikmati tempoh terbaik dalam kariernya bersama skuad Warga Kota. Threads/Khatul Anuar

Bagaimanapun, berikutan peluang untuknya beraksi terlalu tipis, Khatul kemudian mengambil keputusan mencabar diri berkelana ke Penang FC pada 2022 dengan harapan ia dapat memberikannya peluang beraksi lebih kerap.

Namun, harapan tersebut tidak kesampaian kerana sepanjang dua musim di Utara tanah air, dia kerap diletakkan di bangku simpanan berikutan prestasi tidak menentu setiap kali diturunkan.

Situasi berkenaan kemudian menyaksikan pemain berusia 28 tahun terbabit sekali lagi berkelana ke Pantai Timur untuk menyertai KDN FC musim lalu, namun ia memberi masalah baharu dalam kariernya.

Ini kerana kelab tersebut bergelut dengan isu pengurusan sepanjang tahun sehingga mendesak Khatul meninggalkan kelab tersebut lebih awal dengan penampilan terakhirnya adalah pada Ogos tahun lalu.

Selepas itu, Khatul lebih kerap meluangkan masa bersama keluarga berdasarkan perkongsian di media sosial dengan dia pasti berharap untuk kembali ke mana-mana pasukan bagi kempen akan datang.

Usianya yang masih muda membolehkannya menyertai kelab tempatan yang mahu mendapatkan penjaga gawang, sama ada pasukan beraksi dalam Liga Super mahupun Liga A1 Semi Pro. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram