'Sayang jika bakat tersekat', Patrick Vieira Malaysia patut jadikan kelab Pantai Timur, Utara sebagai destinasi


  • Podium
  • Isnin, 28 Apr 2025

Baim Manusi (jersi kuning) mempamerkan persembahan yang cukup cemerlang dalam mengawal bahagian tengah Tok Gajah. — Facebook/Sripahangfc

NAMA pemain tengah Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi kini menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 pada Sabtu.

Dalam perlawanan dramatik yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ibrahim atau lebih mesra disapa Baim mempersembahkan kawalan permainan yang matang dan berpengaruh di bahagian tengah.

Walaupun Sri Pahang tewas 1-2 kepada juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), Baim tetap menyerlah, terutama selepas rakan sepasukannya, Sergio Aguero dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama menjadikannya satu-satunya pemain tengah utama Tok Gajah yang beraksi hingga tamat perlawanan.

BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan TBG, Luciano tuntut hak dengan pengurusan Perak

BACA LAGI: Mungkin ke Persis Solo, Ong Kim Swee kongsi ada hubungi Saddil Ramdani

Barisan pemain Tok Gajah menampilkan persembahan yang cukup cemerlang dalam menghadapi ujian getir JDT. Facebook/Sripahangfc

Persembahannya menentang skuad Harimau Selatan membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk beraksi dengan penuh keyakinan dan kematangan.

Namun begitu, masa depannya bersama Sri Pahang kini dilihat tidak menentu selepas timbul spekulasi bahawa pasukan itu mungkin tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan akibat masalah dalaman.

Mengulas mengenai prestasi dan hala tuju Baim, pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley menyarankan agar pemain muda berusia 23 tahun itu membuat keputusan tepat untuk masa depannya sekiranya Sri Pahang mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan liga.

"Jika Sri Pahang tidak ada lagi musim depan, pastinya Ibrahim perlu keluar dan mendapatkan kelab baharu yang boleh menyerlahkan terus potensinya.

"Sayang jika potensi dia tersekat, kerana setakat ini dia antara tonggak tengah bertahan muda yang sangat hebat," katanya kepada Majoriti.

Naib juara Piala Malaysia 2024, Sri Pahang FC. Facebook/Sripahangfc

Afiq turut mencadangkan dua pasukan Liga Super yang dilihat sesuai untuk mendapatkan khidmat Patrick Veira Malaysia itu.

"Pandangan saya, Terengganu FC antara pasukan paling sesuai untuk mendapatkan Ibrahim kerana dia dilihat mampu menjadi pelapis atau pengganti utama Akram Mahinan.

"Penang FC pun okay. Pasukan itu ada masalah konsistensi di posisi tengah musim ini. Layak selaku pengganti utama Khairu Azrin Khazali," ujarnya.

Tambah Afiq lagi, pemain muda berketinggian 1.81 meter itu perlu mempertimbangkan dua faktor utama dalam membuat keputusan iaitu peluang bermain dan tawaran gaji di samping kecenderungan kelab baharu dalam memberi peluang kepada bakat tempatan.

“Pendapat saya, minit permainan dan gaji perlu dipertimbangkan. Penting untuk dia pilih pasukan yang benar-benar menghargai dan membangunkan pemain muda seperti yang dilakukan Fandi Ahmad,” tambahnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram