Lepas dikaitkan dengan Saddil, kelab Bojan Hodak kini buru tonggak Perak FC


  • Podium
  • Selasa, 29 Apr 2025

Pembubaran skuad TBG menyaksikan rata-rata pemain berbakat mula dilamar kelab di dalam dan luar negara.

KEPUTUSAN Perak FC untuk tidak bertanding dalam Liga Super musim depan disebabkan masalah pengurusan menyaksikan rata-rata pemain sudah bersedia mencari kelab baharu demi kelangsungan karier masing-masing.

Salah seorang pemain yang kuat dikaitkan dengan pelbagai pasukan tempatan ialah kapten The Bos Gaurus (TBG), Luciano Guaycochea memandangkan dia ialah tonggak utama mereka.

Di samping memiliki nilai kepimpinan cukup baik, jeneral tengah kelahiran Argentina itu memiliki kebolehan lain yang menjadikannya aset berharga buat mana-mana kelab.

BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan TBG, Luciano tuntut hak dengan pengurusan Perak

BACA LAGI: Mana kapten?' kehilangan Guaycochea resahkan fans Perak bertemu KDN

Bakat dimiliki Luciano boleh meningkatkan keupayaan pelbagai pasukan. Facebook/Perak FC

Ini termasuk keupayaan dalam membuat hantaran berbahaya untuk mencipta peluang buat pasukan sendiri, baik dari situasi permainan terbuka mahupun semasa dalam situasi bola mati.

Jadi, tidak hairanlah apabila kelab-kelab stabil seperti Penang FC dan Selangor FC dilaporkan berminat dengan kehadiran Luciano dapat membawa barisan tengah pasukan ke tahap baharu.

Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul khabar angin mengatakan bintang skuad TBG itu sudah berada dalam radar kelab Indonesia, Persib Bandung seperti mana dilaporkan pemerhati bola sepak tempatan, T Avineshwaran.

"Tuan-tuan dan puan-puan, difahamkan bahawa Persib Bandung telah menyertai persaingan untuk mendapatkan Luciano Guaycochea," katanya menerusi satu hantaran di laman X.

Usaha mendapatkan pemain yang mencetak 11 gol dan tiga bantuan jaringan dalam 20 penampilan Liga Super 2024/25 tersebut menunjukkan Persib Bandung mempunyai cita-cita besar untuk bersaing di pentas Asia musim depan.

Saddil dilaporkan berada dalam radar Persib Bandung selepas meninggalkan skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Ini selepas terdapat juga ura-ura yang mengatakan mereka mahu mendapatkan khidmat import Sabah FC, Saddil Ramdani yang dilaporkan bersedia untuk pulang ke tanah kelahirannya.

Meskipun baru berstatus khabar angin, struktur kewangan kelab yang stabil akan memudahkan usaha mendapatkan pemain-pemain berkenaan pada jendela perpindahan akan datang.

Kemasukan kedua-dua pemain tersebut bakal menyaksikan Persib Bandung lebih menggerunkan dengan mereka kini sudah mendominasi liga sendiri sejak pelantikan Bojan Hodak.

Bekas pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC itu juga sudah tentu berminat dengan Luciano memandangkan barisan tengah pasukannya belum cukup mantap untuk memberi saingan dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.

Namun, perlu diingatkan bahawa ia masih berstatus khabar angin dengan masih terdapat empat perlawanan Liga 1 Indonesia perlu ditempuhi Persib Bandung sebelum menamatkan saingan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram