Nasib Sri Pahang jadi tanda tanya, 'Patrick Veira Malaysia' boleh disambar Sabah, Selangor dan Penang


  • Podium
  • Selasa, 29 Apr 2025

Ibrahim (kanan) cukup cemerlang ketika perlawanan akhir Piala Malaysia.— Facebook/SriPahang

SRI Pahang FC tewas 1-2 dalam saingan final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur namun pujian harus diberikan buat seluruh skuad Tok Gajah yang memberikan saingan sengit. 

Antara pemain Tok Gajah yang mencuri tumpuan dalam saingan final ialah Ibrahim Manusi apabila kematangan pemain berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu dalam membendung asakan penyerang JDT cukup mengagumkan.

Aksi yang ditunjukkan Ibrahim atau lebih mesra dengan sapaan Baim itu membuatkan para penyokong memberinya jolokan Patrick Viera versi Liga Malaysia (Liga M) kerana kerasnya permainannya dan sifat tidak mengaku kalah di bahagian tengah.

BACA LAGI: Rembatan terkena tiang, kad merah menghiasi pertemuan terakhir JDT-Sri Pahang di pentas final Piala Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Kapten Tok Gajah jatuh cinta dengan Malaysia, cuma belum pasti masa depan bersama Pahang

Kecemerlangan pemain berusia 24 tahun berkenaan pastinya meningkatkan saham Ibrahim dengan sudah penyokong juga sudah menyarankan kelab Liga Super untuk segera memburu khidmatnya pada musim depan.

Dengan nasib Pahang yang masih samar-samar pada musim depan, eloklah andai Baim mencari kelab lain selepas pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah membuat kenyataan mahu mengundurkan diri tahun depan.

Tengku Abdul Rahman berkata demikian ketika ditemubual Astro Arena bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT selepas aksi final Piala Malaysia pada Sabtu lepas.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa pasukan dari Pantai Timur berkenaan tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan. Ia membuka ruang untuk kelab Liga Super lain merebut khidmat Ibrahim.

1) Penang FC

Syamer (kiri) pemain tengah bertahan untuk Penang FC. — Facebook/PenangFC

Penang FC antara kelab yang sedang rancak memburu beberapa pemain berikutan musim ini mereka menutup musim di kedudukan ke-10 selepas merekodkan enam kemenangan, lapan seri dan selebihnya tewas dalam 24 perlawanan. 

Walaupun sudah dikaitkan dengan beberapa pemain, Harimau Kumbang boleh meletakkan Ibrahim dalam senarai tonggak baharu mereka susulan pemain itu boleh mengisi posisi Syamer Kutty Abba sebagai pemain tengah bertahan.

Seperti diketahui penyokong ketua pasukan Penang 2024/2025 itu akan kembali ke kelab majikannya iaitu JDT dan disebabkan itu, Harimau Kumbang perlu mencari individu yang boleh menggantikan Syamer Kutty. 

Kemasukan Ibrahim boleh memperbaiki kestabilan di bahagian pertahanan, terutama selepas beberapa perlawanan musim ini yang mendedahkan kelemahan dalam mengawal tempo permainan dan mempertahankan benteng terakhir.

Ibrahim yang memiliki ketangkasan membaca permainan serta kekuatan fizikal mengagumkan itu dilihat sebagai watak penting untuk memperkukuh posisi tengah bertahan Harimau Kumbang pada musim depan.

2) Sabah FC 

Tae-su sudah berkhidmat untuk Sabah selama tujuh tahun. — Facebook/SabahFC

Sabah FC boleh membawa masuk Ibrahim pada musim depan dengan langkah itu boleh mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh pemain import mereka, Park Tae-su selepas import Korea Selatan itu khabarnya akan berhijrah ke kelab di Indonesia. 

Untuk rekod, Tae-su sudah menyarung jersi Sabah kira-kira tujuh tahun dengan import itu juga merupakan watak utama membantu dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Malaysia 2019 buat kali pertama sejak kali terakhir menjulang gelaran divisyen satu lama pada 1996.

Sepanjang bersama Sri Pahang, Ibrahim telah membuktikan kemampuannya mengawal bahagian tengah, mematahkan serangan lawan serta memberikan perlindungan rapi kepada barisan pertahanan. 

Dengan pengalamannya di saingan Liga Super, pemain berketinggian 1.81 meter berkenaan diyakini tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan skuad The Rhinos. 

Sekiranya skuad The Rhinos berjaya membawa masuk Ibrahim, ia akan menjadi satu langkah penting dalam memastikan kelangsungan kekuatan pasukan selepas kehilangan pemain utama seperti Tae-su. 

3) Selangor FC

Selangor menghabiskan musim ini di kedudukan kedua. — Facebook/SelangorFC

Selain Sabah FC dan Penang FC, Selangor FC juga boleh masuk dalam senarai pasukan yang boleh memantau Ibrahim pada musim depan sebelum bakat pemain itu disia-siakan susulan khabar angin penutupan Sri Pahang. 

Jika Ibrahim berada dalam senarai skuad Gergasi Merah, dia boleh menjadi pilihan kedua untuk membuat penggiliran pemain dengan tonggak import di posisi tengah bertahan iaitu Nikola Jambor. 

Selain itu, kemasukan Ibrahim dijangka menjadi satu peralihan yang lancar bagi memastikan posisi penting itu tidak terjejas sekiranya kontrak Jambor tidak akan disambung atau dia ingin mencari cabaran baharu.  

Kehadiran Ibrahim juga boleh memberi variasi taktikal kepada jurulatih Selangor iaitu Katsuhito Kinoshi yang mungkin ingin memperkenalkan gaya permainan yang lebih agresif dan seimbang. 

Selain sebagai pemain bertahan, Ibrahim juga mampu berfungsi sebagai penghubung antara pertahanan dan serangan, memberikan lebih banyak pilihan dalam membina serangan dari bawah.

Ini sekaligus dapat memperkayakan lagi corak permainan Selangor musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram