PENJAGA gol Kelantan Darul Naim FC (KDN), Khatul Anuar Jalil bersedia untuk menghadapi ujian sukar apabila kelabnya menentang Sabah dalam aksi Liga Super pada Jumaat.
Selepas tampil menghasilkan persembahan cemerlang bertemu Sri Pahang FC pada aksi pertama, Khatul dilihat mahu meneruskan rentak itu apabila berdepan Sang Badak di laman sendiri.
Dalam perlawanan bertemu Tok Gajah, Khatul meraih pujian menerusi persembahan baiknya walaupun Sang Kijang Emas tumpas 0-1 di tempat lawan.
BACA LAGI: KDN FC tidak main-main, saham import baharu lagi tinggi dari Bergson dan peledak baharu Selangor
BACA LAGI: Media Indonesia lapor Kelantan minat sambar Marselino Ferdinan
KDN tumpas pada aksi pertama Liga Super kepada Sri Pahang. — KDN FC
Walaupun turun menentang Sabah di laman sendiri, Khatul mengakui cabaran sukar menanti kerana barisan serang pelawat terdiri daripada bintang-bintang ternama.
Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok serta gandingan pemain import iaitu Ramon Machado, Miguel Cifuentes dan bintang Indonesia, Saddil Ramdani pasti akan buatkan Khatul dan pertahanan KDN tidak senang duduk sepanjang 90 minit perlawanan.
"Sabah merupakan pasukan yang selalu mencabar kedudukan teratas Liga Super. Jika anda lihat kepada skuad mereka, setiap posisi penuh dengan bintang.
"Mereka mempunyai dua penyerang berkualiti iaitu Darren Lok dan Ramon Machado, pemain sayap mereka juga seperti lipas kudung. Pemain tengah mereka pula mampu melakukan larian lewat serta membuat percubaan dari luar kota penalti," ujar Khatul.
Walaupun Khatul mengakui kehebatan dimiliki skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini, dia mengatakan pengendali KDN, Park Jae-hong tidak mahu mudah mengalah dan memberi laluan mudah buat Sabah.
Ditambah KDN sudah mengalami kekalahan pertama, sudah pasti Park inginkan tiga mata pertama lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.
"Mereka mempunyai kualiti, jadi apabila berdepan pasukan seperti mereka, disiplin taktikal yang menjadi keutamaan dan itulah perkara diberatkan oleh jurulatih.
"Tetapi dia juga mahu menang, jadi kami menambah pengukuhan terhadap taktikal dan merancangan strategi serangan yang baik untuk memperoleh tiga mata pertama musim ini.
"Dengan saya berada di barisan terakhir pertahanan, saya pasti akan bersedia. Saya akan lakukan yang terbaik untuk menghalang segala serangan," kata Khatul. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram