
USAHA memantapkan Harimau Malaya diteruskan dengan pelantikan bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe diberikan peranan Pengarah Teknikal dengan perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Ayub.
Kehadirannya membuka lembaran baharu dalam landskap pasukan negara kerana sebelum ini, posisi tersebut hanya diwujudkan, namun setiap individu dilantik tidak memberi impak terbaik.
Situasi itu diharapkan dapat diubah dengan pengalaman jurulatih berusia 56 tahun tersebut dalam arena bola sepak tempatan diharapkan mampu mencetuskan perbezaan buat organisasi berkenaan.
BACA LAGI: Sumber dedah Penang pernah lamar Cheng Hoe sebelum kehadiran Wan Rohaimi
BACA LAGI: Cheng Hoe disebut-sebut Penasihat Teknikal FAM
Cheng Hoe merupakan salah seorang nama baharu yang dibawa masuk ke dalam badan pengurusan Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Namun, timbul persoalan mengenai peranan bakal dipikul Cheng Hoe kerana secara amnya, Pengarah Teknikal bertanggungjawab membangunkan program di peringkat akar umbi.
Jadi, sekiranya pemahaman dibuat menggunakan definasi berkenaan, bekas pengendali Selangor FC itu masih tidak diperlukan memandangkan skuad Harimau Muda difahamkan masih berada di bawah pengurusan FAM.
Hal tersebut kemudian menimbulkan tanda tanya sama ada dia akan diberikan pelbagai tugasan lain atau akan terlibat bersama-sama Peter Cklamovski dalam skuad senior negara.
Pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley bagaimanapun berpendapat kehadiran Cheng Hoe dapat mewujudkan kesinambungan antara pasukan pembangunan serta skuad senior.
Cheng Hoe (kiri) dan Nafuzi perlu bekerja secara rapat dalam skuad kebangsaan ketika ini. — Facebook/KDA FC
"Pada saya, menggunakan khidmat Cheng Hoe boleh dianggap salah satu inisiatif terbaik FAM untuk mendapatkan bakat muda berkualiti serta bersesuaian dengan DNA Harimau Malaya dan sekali gus membantu Nafuzi Zain serta Peter Cklamovski.
"Cheng Hoe dikenali sebagai antara jurulatih yang pakar dalam mengendalikan bakat muda dan ia pernah dibuktikan suatu ketika sewaktu bersama skuad Harimau Malaya, Kedah dan Selangor," ujarnya kepada Majoriti.
Sebelum ini, timbul persoalan mengenai pelan badan induk bola sepak negara terhadap skuad pelapis kerana pengalaman lalu menyaksikan bakat muda kerap kali dilupakan selepas usia masing-masing meningkat.
Situasi tersebut mencipta pembaziran memandangkan pemain berpotensi Harimau Muda perlu diberi pendedahan mencukupi untuk terus berkembang dengan kejayaan melakukannya memberi manfaat buat semua pihak.
Kehadiran Cheng Hoe amat diharapkan dapat menyelesaikan dilema itu, lebih-lebih lagi sekiranya dia dapat mencipta persefahaman baik bersama Cklamovski dan Nafuzi Zain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram