
USAI saingan Liga Super musim 2024/2025 berakhir, timbul banyak luahan daripada pemain mahupun kakitangan mengenai masalah dalaman yang dihadapi oleh sesetengah pasukan dengan topik tunggakan gaji serta hutang menjadi sorotan.
Misalnya baru-baru ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC yang menjadi sorotan utama apabila masalah tunggakan gaji mereka masih belum menemui jalan penyelesaian hingga khabar angin kelab akan ‘gulung tikar’ juga mulai timbul.
Tidak cukup di Utara tanah air, pasukan berpangkalan di Pantai Timur iaitu Kelantan Darul Naim (KDN) FC juga nampaknya menghadapi masalah sama apabila pemain dan kakitangan mereka tampil meluah mengenai beban tersebut.
BACA LAGI: Khatul Anuar mahu buat barisan serangan Sabah 'gigit jari' bila bertemu KDN
BACA LAGI: 'Yang bergaji wajib beli', kiper KDN cari duit belanja jual kuih raya sepanjang Ramadan
Antara pemain yang sudah berani tampil berkongsi masalah itu di media sosial ialah penjaga gol skuad Kijang emas, Khatul Anuar.
Dalam hantarannya pada Sabtu di Threads, Khatul menzahirkan rasa syukur kerana dapat menyarung jersi Kijang Emas sepanjang musim ini, walaupun berdepan pelbagai cabaran di luar dan dalam padang berhubung isu tunggakan gaji yang hampir mencecah tujuh bulan.
“Terima kasih untuk musim 2024/2025. Tunggakan gaji hampir tujuh bulan sila jelaskan, kami semua nantikan,” katanya ringkas pada hantaran itu.
Luahan penjaga gol berusia 28 tahun itu selari dengan luahan penolong pengendali Kelantan Darul Naim FC, Rezal Zambery Yahya yang menggesa pihak pengurusan kelab agar lebih serius dalam menangani isu tunggakan gaji.
Bekas pemain Harimau Malaya kelahiran Johor yang berpengalaman hampir lima musim sebagai penolong jurulatih bersama Kelantan Red Warriors (TRW) sebelum menyertai KDN itu, menegaskan bahawa barisan pemain dan kejurulatihan telah menunaikan tanggungjawab mereka sepenuhnya biarpun bergelut dengan pelbagai kekangan sepanjang musim.
Terdahulu, masalah tunggakan yang melanda itu menyebabkan pemain pasukan Kelantan Darul Naim yang beraksi di saingan Liga Super dilaporkan pernah memboikot sesi latihan sekitar Disember 2024.
Para pemain dan kakitangan KDN pastinya menaruh harapan agar masalah tunggakan ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat sekiranya pengurusan mengambil langkah bertanggungjawab, imej kelab akan dapat dipulihkan, dan hubungan dengan para pemain dapat diperbaiki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram