Lupakan seketika Hidalgo-Kpah, Saravanan antara 3 calon finisher Pahang hadapi JDT final Piala Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Sebahagian sesi latihan terakhir Tok Gajah sebelum perlawanan menentang Harimau Selatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. — Facebook/Sripahangfc

SKUAD Sri Pahang FC bakal bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam keadaan tempang pada Sabtu.

Ini kerana, selepas kehilangan dua pemain utama, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo, kini skuad Tok Gajah disahkan akan turun tanpa seorang lagi tonggak penting di bahagian tengah.

Sherman tidak dapat diturunkan kerana digantung perlawanan, sementara Hidalgo pula tidak boleh beraksi menentang kelab majikannya, JDT.

BACA LAGI: 'End of an era', Perak FC hampir 100 peratus tidak beraksi musim depan

BACA LAGI: Sebelum tercalon di Kedah tapi tiada rezeki, kali ini milik saya — Aidil Sharin

Tambahan pula, skuad Tok Gajah turut kehilangan pemain tengah, David Rowley yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut.

Keadaan itu pasti merencatkan perancangan Fandi Ahmad dalam usaha merebut gelaran juara yang dipertahankan oleh JDT selepas meraih empat gelaran Piala Malaysia berturut-turut pada 2017, 2019, 2022, dan 2023.

Walaupun begitu, Fandi tetap mempunyai strategi rahsia untuk memberikan saingan sengit kepada JDT, terutama selepas meraih empat kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super baru-baru ini.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dijangka bakal menjadi senjata rahsia Fandi dalam usaha meraih piala berprestij itu musim ini.

1. T. Saravanan

Penyerang sayap lincah Sri Pahang FC, T. Saravanan merupakan pemain yang patut diberi perhatian oleh pertahanan JDT.

Hal ini kerana, kelincahan dan kecerdikan Saravanan dijangka mampu menjadi ancaman besar kepada benteng pertahanan skuad Harimau Selatan.

Saravanan sebelum ini mencuri tumpuan apabila membantu Sri Pahang membelasah Kedah Darul Aman FC 6-0, dengan mencetak satu gol dan satu bantuan jaringan.

Penyerang sayap lincah Sri Pahang FC, T. Saravanan berpotensi menjadi ancaman besar buat JDT. — Facebook/Sripahangfc

Menariknya, itu adalah satu-satunya perlawanan musim ini yang mana Saravanan bermain sepenuh masa, manakala 10 penampilan lain adalah sebagai pemain gantian.

Pemain sayap berusia 24 tahun itu juga menjaringkan gol kemenangan ketika Sri Pahang menewaskan Perak 1-0 di Stadium Manjung, Perak pada 12 April lalu selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Jaringan pada minit ke-82 itu menunjukkan ketajaman dan kecerdikannya dalam mengambil peluang untuk mencetak jaringan.

Saravanan berpotensi menjadi ancaman kepada JDT sekiranya diturunkan sebagai kesebelasan utama kerana kesilapan mudah pihak lawan boleh memberikan ruang kepada pemain muda berkenaan untuk menjaringkan gol.

2. Sergio Aguero

Nama penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero tidak perlu diragui lagi dalam hal kemampuannya sebagai jentera serangan pasukan.

Gandingan Aguero bersama Mykola Ahapov dilihat mampu menjadi ancaman besar buat benteng pertahanan JDT yang dikawal ketat oleh Matthew Davies dan Park Jun-heong.

Persembahan tonggak Tok Gajah, Sergio Aguero, pastinya dinantikan penyokong untuk menyaksikan kelincahannya di atas padang. — Facebook/Sripahangfc

Dalam saingan Liga Super musim ini, Aguero telah membuktikan ketajamannya di depan gol dengan mencetak lima gol dan menyediakan tiga hantaran bantuan.

Selain itu, Aguero juga memiliki kelebihan dalam membaca corak permainan, menjadikannya pemain yang sukar diramal di bahagian hadapan.

3. Mykola Ahapov

Penyerang import dari Ukraine, Mykola Ahapov merupakan antara pemain yang sering mendapat kepercayaan Fandi untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

Kerajinan dan komitmen 100 peratus daripada penyerang berusia 31 tahun itu dilihat sebagai aset penting kepada pasukan.

Ahapov membuktikan potensinya apabila diberi peranan sebagai penyerang utama dalam perlawanan menentang Penang FC pada 19 April lalu, dengan mencetak dua gol.

Penyerang import dari Ukraine, Mykola Ahapov dijangka mampu menjadi wira buat Tok Gajah dalam menghadapi cabaran JDT. — Facebook/Sripahangfc

Walaupun sering diletakkan di sayap kiri kerana kehadiran Kpah di tengah, keupayaan Ahapov untuk beradaptasi dan memberi impak jelas terbukti.

Sebagai pemain yang laju dan mempunyai kadar kerja tinggi, dia bijak memanfaatkan kelebihannya tanpa berlebihan dalam menggelecek.

Oleh itu, tidak mustahil jika Ahapov mampu menjadi wira buat Tok Gajah dalam membantu membenam cabaran JDT, terutamanya jika digandingkan dengan Aguero. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram