
SELEPAS hampir setahun menyepi daripada arena bola sepak tanah air, Tan Cheng Hoe yang merupakan antara jurulatih tempatan terbaik dilaporkan akan menyertai barisan pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perkara itu diuar-uarkan menerusi hantaran di Facebook Football Agent - Malaysia dengan mengatakan pengendali kelahiran Kedah itu berkemungkinan besar akan dilantik sebagai Pengarah Teknikal dalam masa terdekat.
"Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dijangka akan kembali ke FAM dalam masa terdekat.
BACA LAGI: Cheng Hoe disebut-sebut Penasihat Teknikal FAM
BACA LAGI: Ramon Marcote ada 6 kelab impian jika kembali ke Malaysia
"Spekulasi itu bertiup kencang apabila dikatakan figura berpengalaman dalam arena bola sepak negara itu sedang dalam perbincangan untuk menyandang peranan sebagai penasihat teknikal skuad Harimau Malaya," tulisnya.
Meskipun tiada sebarang pengumuman rasmi mengenainya, pelantikan Cheng Hoe merupakan sesuatu yang amat ditunggu-tunggu kerana jurulatih itu mempunyai pemahaman meluas.
Pengalaman dimiliki Cheng Hoe diharapkan mampu membawa perubahan terhadap FAM.
Selain pernah mengendalikan Selangor dan Kedah di peringkat kelab, reputasinya turut dikenali selepas membawa perubahan terhadap Harimau Malaya sepanjang empat tahun perkhidmatannya.
Dalam tempoh berkenaan, Cheng Hoe berjaya menyediakan batu asas kepada perubahan skuad kebangsaan dengan gaya permainan lebih menarik yang kemudiannya diteruskan Kim Pan-gon.
Kali terakhir jurulatih berusia 56 tahun itu membimbing pasukan adalah pada tahun lalu apabila dia mengendalikan Police Tero FC di Thailand, namun gagal mengelak pasukan tersebut daripada tersingkir ke divisyen kedua.
Sejak direhatkan, dia tidak lagi terikat dengan mana-mana kelab meskipun pernah timbul khabar angin mengatakan Terengganu FC dan Selangor FC berminat dengan khidmatnya.
Jadi, dengan tiada peranan dipikul setakat ini, khabar angin yang mengatakannya akan menyertai FAM sebagai penasihat teknikal boleh direalisasikan jika pihak pengurusan dapat memberi kata putus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram