
MASA depan Syafiq Ahmad bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin kelam selepas penyerang itu memberi bayangan tidak akan kekal di Selatan tanah air selepas pulang dari tempoh pinjaman bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Ini selepas pemain kebangsaan tersebut memberi bayangan di Instastory peribadinya menyatakan penghargaan terhadap pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kesudian melepaskannya.
"Junjung kasih Tunku di atas kurniaan untuk saya walaupun sebagai status pemain pinjaman, terima kasih Tunku," tulisnya ringkas.
BACA LAGI: Enggan ulangi kesilapan lama, Irfan Bakti idam bawa import ke Kelantan musim depan
Kenyataan ringkas diberikan Syafiq Ahmad menerusi Instastory peribadinya.
Hantaran itu bagaimanapun tidak disertakan mana-mana kelab yang bakal disertainya dengan persoalan itu terus bermain dalam minda penyokong yang mahu mengetahui destinasi bakal dipilihnya bagi musim depan.
Ini kerana berdasarkan khabar angin semasa, terdapat dua pasukan berminat dengan khidmat pemain berusia 29 tahun tersebut iaitu Terengganu FC dan Selangor FC yang memerlukan khidmat penyerang lokal.
Bagaimanapun, ramai menjangkakan pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan berkelana ke Pantai Timur kerana berdasarkan pemerhatian lalu, sukar bagi mana-mana pemain JDT untuk menyertai skuad Gergasi Merah meskipun dengan status pinjaman.
Perpindahannya ke Terengganu FC juga boleh membawa manfaat besar seperti mana diramal jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yang percaya peluang itu akan memberi kelebihan buat semua pihak.
"Ini sesuatu yang bagus untuk menambah lagi serangan pasukan dengan pemain tempatan. Kedua, ia akan menawarkan lebih banyak minit permainan buat Syafiq Ahmad sendiri. Hal ini kerana ketika ini, kita amat kekurangan pemain lokal di posisi serangan," katanya kepada Majoriti.
Irfan Bakti percaya minit permainan dimiliki Syafiq Ahmad di Pantai Timur akan membawa manfaat buat skuad kebangsaan. — Facebook/MFL
Meskipun meledak 35 gol dalam 24 saingan Liga Super 2024/25, jumlah dicatatkan Terengganu FC itu sedikit mengecewakan kerana ia merupakan penurunan ketara berbanding kempen lalu.
Tidak cukup dengan itu, dalam kelompok tujuh pasukan teratas musim ini, skuad Sang Penyu merekodkan jaringan terendah, termasuk jika dibandingkan dengan Perak FC yang disebut-sebut mengalami isu ketumpulan barisan hadapan.
Kehadiran Syafiq Ahmad yang berpengalaman diharapkan mampu mengubah situasi itu dengan dia sekurang-kurangnya dapat menjadi inspirasi kepada penyerang muda lain dalam Terengganu FC seperti Syahmi Zamri dan Khala'if Naskam.
Dalam pada itu, Irfan Bakti yang kini mengendalikan Kelantan Red Warriors (KRW) turut menegaskan kejayaan Syafiq kembali ke prestasi terbaik akan mengurangkan kebergantungan Harimau Malaya terhadap pemain warisan atau naturalisasi di barisan hadapan.
"Kita ketandusan pemain lokal untuk beraksi dalam kesebelasan utama, terutamanya di bahagian serangan. Jadi, kita perlukan pasukan Liga Super untuk gunakan sekurang-kurangnya seorang bintang tempatan dalam jentera serangan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram