'Tak rasa kelab luar cari pemain Malaysia', Arif Aiman beri mesej jelas soal kesetiaan lepas rangkul 3 anugerah ABK


  • Podium
  • Khamis, 24 Apr 2025

Arif Aiman berada di kelas tersendiri apabila menjadi satu-satunya pemain yang meraih gelaran MVP sebanyak empat kali berturut-turut. — Facebook/MFL

TONGGAK Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.

Dalam Majlis ABK 2024-2025 yang berlangsung pada Rabu itu menyaksikan sebanyak 17 kategori dipertandingkan dengan Arif Aiman membawa pulang tiga anugerah Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2024-2025 dan Fans Xi (Penyerang). 

Kecemerlangan itu meletakkan Arif Aiman berada di kelas tersendiri apabila menjadi satu-satunya pemain yang meraih gelaran MVP sebanyak empat kali berturut-turut selepas bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang merangkul hatrik pada musim 2010 sehingga 2012.

BACA LAGI: 'Rumors' ke Iran mula senyap, Arif Aiman dipetik bakal berkelana ke Korea Selatan

BACA LAGI: [VIDEO] Fans tak gemar lihat reaksi Arif Aiman 'ajak gaduh' lepas kaki dipijak pemain TFC

Ia juga merupakan musim pertama Arif Aiman memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik (pencalonan mengikut posisi yang didaftarkan pasukan) apabila sebelum ini meraih gelaran Penyerang Terbaik sebanyak tiga kali sejak tahun 2021 sehingga 2023.

Meskipun memenangi anugerah berkenaan sebanyak empat kali berturut-turut namun pemain berusia 23 tahun berkenaan enggan berasa selesa dan akan terus berusaha memberikan terbaik untuk karier bola sepaknya. 

"Alhamdulillah, saya tidak sangka dapat MVP empat kali berturut-turut. Ia memang anugerah paling tinggi dalam bola sepak sebagai pemain tempatan. Tapi setiap tahun cabaran buat saya. Saya tidak ambil mudah dan tidak berpuas hati dengan apa yang saya capai selama ini.

"Saya rasa tidak capai prestasi di tahap yang saya nak. Diri saya sahaja yang tahu betapa struggle untuk sampai ke tahap ini tapi saya nak lebih lagi. 

"Tapi saya masih tidak puas hati dan akan beri yang terbaik sampai saya bangga dengan diri sendiri," katanya memetik klip video dimuat naik portal, Harimau Malaya di laman Facebook pada Khamis. 

Sementara itu, Arif Aiman juga berhasrat mahu kekal setia dengan skuad Harimau Selatan meskipun pemain kebangsaan berkenaan mempunyai potensi tersendiri untuk mencipta nama di luar negara. 

"Bukan nak cakap main luar bagus atau tidak bagus tapi cabaran saya di Malaysia dan di JDT amat sukar tapi impian saya, yang sebenarnya saya nak kekal di JDT. Tetapi bukan senang saya nak kekal di JDT buat selamanya. Saya perlu bekerja keras.

"Mungkin penyokong dan media senang cakap ada tawaran daripada luar tetapi sebagai pemain, saya tahu betapa sukarnya kelab luar nak cari pemain Malaysia. Saya tak rasa akan ada kelab luar cari pemain di Malaysia. Saya rasa saya akan kekal di JDT sahaja sampai bila-bila dan perlu bekerja keras untuk di sini," jelasnya. 

Penyokong di Iran meletakkan harapan besar untuk menyaksikan Arif Aiman beraksi buat Persepolis FC.

Masa depan Arif Aiman sebelum ini menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong apabila timbul dakwaan kelab Iran, Persepolis FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada penghujung tahun lalu. 

Tidak cukup dengan desas-desus itu, timbul lagi ura-ura mengatakan kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors berminat dengan khidmatnya dengan sebuah agensi media di laman X, Markaj News yang mengatakan hal tersebut sudah disahkan sumber dalaman berdekatan. 

Bagaimanapun, menurut pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mereka hanya akan menerima tawaran sekiranya kelab yang berminat dengan Arif Aiman beraksi secara konsisten dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram