
PERIBAHASA Melayu ada berkata, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Dalam konteks mendidik anak-anak, minat dan masa depan mereka boleh dicorak bermula di peringkat awal agar membuahkan hasil di kemudian hari.
Bekas peledak skuad kebangsaan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, 37, antara individu yang mempraktikkan nilai murni itu dalam hal berkaitan keluarganya.
Tegas dalam aspek membesarkan anak-anak, bapa kepada enam cahaya mata itu baru-baru ini berkongsi aktiviti rutin harian bersama dua anaknya yang dilihat cukup meminati sukan bola sepak.
Berbekalkan pengalaman dimiliki, Zaquan menurunkan segala ilmu dan tip kecergasan kepada tiga orang anak lelakinya.
Biarpun kelihatan seperti aktiviti di masa senggang, ketegasan Zaquan yang juga merupakan bekas kapten Harimau Malaya itu jelas masih terpancar apabila bersuara lantang dalam sesi latihan itu.
Selain daripada skil kawalan bola, salah seorang anaknya juga dilatih menjalani latihan di posisi penjaga gawang.
Tanpa mengira usia, Zaquan melatih anak-anaknya dengan cara yang cukup disiplin di samping dorongan kuat diberikan oleh isterinya, Ayu Raudhah, 40.
Terdahulu, perkongsian video Zaquan bersama anak-anaknya sentiasa mencuri tumpuan warga maya.
Bagaikan sebuah pasukan bola sepak, kemeriahan keluarganya tatkala percutian ke taman tema Legoland awal Januari lalu menjadi bualan hangat peminatnya hingga ke hari ini.
Sekadar info, pasangan sama cantik sama padan itu mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 dan dikurniakan enam cahaya mata.
Mereka ialah Muhammad Aisy Qaiser, 12 Muhammad Aisy Aryann, 11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia dua tahun.
Namun, berita duka buat pasangan itu apabila anak bongsunya, Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha dilaporkan meninggal dunia pada Februari lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram