Sumber dedah Penang pernah lamar Cheng Hoe sebelum kehadiran Wan Rohaimi


  • Podium
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Cheng Hoe pernah dirisik Penang FC bagi menggantikan Akmal Rizal, namun pelantikan itu tidak sempat dimeterai.

SEJAK digugurkan daripada jawatan pengendali Police Tero FC pada Jun tahun lalu, Tan Cheng Hoe tidak lagi berkhidmat buat mana-mana pasukan meskipun pengalaman kejurulatihannya cukup memberangsangkan.

Di samping berjaya membawa Selangor FC ke pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two 2024/25, tempoh perkhidmatannya bersama Kedah FA masih diingati sehingga hari ini.

Tidak terhenti di situ, kebolehannya dalam bidang berkenaan turut disaksikan semasa kira-kira dua tahun bersama Harimau Malaya kerana Cheng Hoe berjaya membawa perubahan terhadap mentaliti pemain.

BACA LAGI: Cheng Hoe disebut-sebut Penasihat Teknikal FAM

BACA LAGI: Bergelut rebut slot top 3 Liga Super, ada baiknya Sabah tagih khidmat Tan Cheng Hoe

Cheng Hoe tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan Police Tero FC. Facebook/Police Tero FC

Pengalaman diperolehi itu sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan mana-mana kelab Liga Super mendapatkan khidmatnya, lebih-lebih lagi buat pasukan yang sedang bergelut ketika ini.

Namun, tahukah anda sebenarnya terdapat pasukan yang benar-benar meminati khidmat Cheng Hoe iaitu Penang FC yang kini menduduki tangga ke-10 dengan dua aksi berbaki.

Berdasarkan perkongsian sumber kepada Majoriti, jurulatih berusia 56 tahun tersebut pernah dirisik kelab Utara tanah air tersebut sebelum pelantikan pengendali semasa, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Rancangan untuk melantik salah seorang daripada dua pengendali itu dibuat selepas pasukan berkenaan berpisah dengan Akmal Rizal Ahmad Rakhli kerana prestasi tidak menentu.

Tetapi, pelantikan tersebut gagal dimeterai kerana terdapat halangan tertentu, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Kumbang membawa masuk Wan Rohaimi yang sebelum itu berkhidmat sebagai pembantu jurulatih dalam Kuala Lumpur (KL) City FC.

Kehadiran Wan Rohaimi membawa sedikit perubahan buat skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Meskipun tidaklah membawa keputusan terbaik, perubahan demi perubahan dapat disaksikan dengan beberapa keputusan memberangsangkan dicatatkan seperti kejayaan mengikat Selangor FC di laman sendiri selain kemenangan besar 6-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

Sumber sama turut menjelaskan peningkatan dibawa Wan Rohaimi membolehkannya kekal untuk sekurang-kurangnya semusim lagi yang sekali gus menutup pintu kepada pelantikan Cheng Hoe.

Jika tidak dapat membimbing skuad Harimau Kumbang, bekas pengendali skuad kebangsaan itu masih memiliki pelbagai pilihan lain dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut dilaporkan berminat dengan pengetahuannya.

Ini selepas khabar angin terdahulu yang mengatakan Cheng Hoe dikaitkan dengan jawatan penasihat teknikal, namun tidak dipastikan sama ada badan induk tersebut akan membuat pelantikan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram