
MENJELANG jendela perpindahan akan datang, Penang FC dikhabarkan mahu membawa masuk pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan yang hanya berada di tangga ke-10 musim lalu.
Kelompongan terbesar skuad Harimau Kumbang dapat dilihat dalam jentera serangan dengan hampir semua bintang dalam posisi tersebut gagal membantu pasukan tersebut sepanjang kempen lalu.
Jadi, untuk menyelesaikan ketumpulan berkenaan, kelab Utara tanah air itu dilaporkan bersedia membawa masuk beberapa rekrut yang sesuai dengan taktikal diterapkan Wan Rohaimi Wan Ismail.
BACA LAGI: Fazrul Amir akhirnya dipanggil, status kelab 'underrated' halang 3 pemain sarung jersi HM
BACA LAGI: Seperti latihan petang, 'Berg5on' dan legenda SR8 rasmikan majlis bunga api JDT
Fazrul Amir memiliki kelincahan yang cukup memukau sepanjang beraksi di Pantai Timur. — Facebook/KDN FC
Antara pemain difahamkan berada dalam radar Penang FC berkenaan ialah Fazrul Amir Zaman yang sepanjang kariernya beraksi di Kelantan kerana ia merupakan negeri kelahirannya.
Khabar angin tersebut dilaporkan pemerhati bola sepak tempatan, Fadhirul Shuhaimi dengan menyatakan tonggak Kelantan Darul Naim (KDN) FC tersebut akan berkelana dalam masa terdekat.
"Pemain berbakat Kelantan, Fazrul Amir Zaman dikhabarkan bakal bawa haluan baharu dengan menyertai Penang FC bagi saingan Liga Super 2025/26. Pemain yang mesra disapa Ghaddar itu tampil dalam 21 perlawanan dan mencetak dua gol dalam kempen Liga Super musim ini," katanya.
Laporan tersebut menimbulkan keriangan dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang yang berminat akan kebolehan penyerang sayap berkenaan selepas bersinar di Pantai Timur bersama KDN FC dan Kelantan FC.
Tidak terhenti di situ, bakatnya turut memukau orang ramai ketika dia beraksi buat Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF lalu dengan kesungguhan serta kelincahan di atas padang mencipta kelainan.
Wan Rohaimi memerlukan pemain lain untuk memperkuatkan skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Jadi, kehadirannya dijangka mampu membawa kelainan dalam skuad Harimau Kumbang musim depan, lebih-lebih lagi sekiranya peluang berterusan diberikan buatnya sepanjang musim.
Pemain berusia 25 tahun itu sudah tentu terbuka untuk meninggalkan skuad Kijang Emas berikutan masalah kewangan berlaku kerana pasukan berkenaan dilaporkan tidak menerima bayaran gaji untuk beberapa bulan.
Malah, ini bukanlah kali pertama dia mengalami masalah sedemikian kerana semasa beraksi buat Kelantan FC pada 2023, isu sama turut membelenggu dengan kemelut berkenaan masih belum diselesaikan sehingga hari ini.
Selain Fazrul Amir, beberapa pemain lain turut dilaporkan berada dalam radar Penang FC termasuk penyerang PDRM FC, Bruno Suzuki serta bek Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ariff Farhan Md Isa.
Di samping itu, kelab tersebut dilaporkan turut membuat perubahan terhadap barisan import dalam pasukan dengan nama-nama seperti Rodrigo Dias dan Neto akan ditunjukkan jalan keluar.
Namun, kata putus hanya boleh diberikan pihak pengurusan yang tidak mahu membuat keputusan terburu-buru yang hanya akan mengundang kerugian seperti tahun-tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram