Siap ada tatu 'YNWA', bintang Sepanyol seakan tawar diri perkuat Liverpool


  • Podium
  • Selasa, 22 Apr 2025

Sancet menjadi watak utama Athletic Bilbao dalam membantu mereka melangkah ke separuh akhir UEL. — Agensi

SELEPAS menyepi dalam dua jendela perpindahan lalu, Liverpool dijangka berbelanja besar pada musim panas akan datang dalam usaha Arne Slot mengukuhkan lagi pasukan yang akan berentap di pentas Eropah.

Ketika ini, pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dilaporkan sedang mengekori rapat perkembangan bek kiri Bournemouth, Milos Kerkez yang boleh dibawa masuk untuk menggantikan Andy Robertson.

Skuad The Reds turut dikaitkan dengan beberapa pemain pertahanan lain seperti Jorrel Hato dan Dean Huijsen dengan masing-masing boleh memberi nafas baharu pertahanan paskan yang kian berusia.

BACA LAGI: Peraturan kesihatan rencat taktikal Arne Slot turunkan Alisson, dianggap punca Liverpool tewas

BACA LAGI: Makin kerap buat silap, Arne Slot nafi Van Dijk berdepan masalah prestasi

Posisi tengah skuad The Reds bukanlah isu besar kerana terdapat tiga pemain berkualiti. — Agensi

Namun, ramai tidak menyedari bahawa Arne Slot juga mahu menambah muka-muka baharu di posisi tengah meskipun gandingan tiga serangkai antara Ryan Gravenberch, Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai sudah serba lengkap.

Ini kerana baru-baru ini, Liverpool dikaitkan dengan pemain tengah Sepanyol, Oihan Sancet yang menjadi wira utama Athletic Bilbao dalam kemaraan pasukan itu ke peringkat separuh akhir Liga Europa UEFA (UEL).

Khabar angin tersebut timbul selepas pemain berusia 24 tahun itu didapati memiliki tatu 'You'll Never Walk Alone' yang merupakan cogan kata amat dekat dengan skuad The Reds.

Tulisan yang berada di tangan kanan Sancet pada awalnya disedari ketika dia menyempurnakan sepakan penalti ketika pasukannya menundukkan Rangers FC di suku akhir UEL.

Tatu 'You'll Never Walk Alone' di tangan kanan Sancet menimbulkan khabar angin mengenai masa depannya. — Agensi

Ini menunjukkan pemain dengan empat penampilan buat Sepanyol itu mula menawarkan diri untuk menyertai Liverpool dengan kehadirannya mampu memberi dimensi baharu kepada jentera serangan The Reds.

Bagaimanapun, menurut laporan semasa, Athletic Bilbao sudah menetapkan nilai setinggi €80 juta (RM403.7 juta) dalam klausa perlepasan (release clause) untuk pemain tengah menyerang itu.

Permintaan terlalu tinggi itu sudah tentu membuatkan Liverpool terpaksa berfikir-fikir terlebih dahulu untuk mendapatkan khidmatnya kerana pelbagai posisi lain masih perlu diperkukuhkan pada jendela perpindahan akan datang.

Untuk rekod, Sancet sudah mencatatkan 24 penampilan dalam LaLiga musim ini dengan 15 gol dan satu bantuan jaringan direkodkan meletakkan Athletic Bilbao di tangga keempat selepas 32 perlawanan.

Pulangan memberangsangkan itu akan meningkatkan kualiti jentera serangan skuad The Reds yang sememangnya kukuh, lebih-lebih lagi selepas Mohamed Salah sudah rasmi melanjutkan kontrak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram