
SEJAK menyertai Terengganu FC pada awal musim, Akhyar Rashid sudah kembali ke prestasi terbaik dengan 10 gol dan enam bantuan jaringan berjaya direkodkan daripada 36 penampilan secara keseluruhan.
Dia yang pada awalnya berkelana ke Pantai Timur dengan status pinjaman disahkan akan terus kekal di sana selepas majikan terdahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) melepaskannya secara kekal.
Peluang untuk terus beraksi buat skuad Sang Penyu akan memberi ruang buat pemain sayap itu terus memberi impak terbaik dengan harapan ia akan membawa manfaat kepada skuad kebangsaan.
BACA LAGI: Tak tinggal raya solo, Akhyar Rashid bawa balik bintang import balik Kedah
Neymar merupakan idola Akhyar dalam arena bola sepak. — Agensi
Tidak cukup dengan itu, peluang membuktikan kebolehan sebenar akan memberi peluang buat Akhyar kekal dalam radar penyokong kerana sepanjang meluangkan masa di bangku simpanan JDT, namanya kian dilupakan.
Menyedari reputasinya sudah kembali berkembang, pemain berusia 26 tahun itu sempat meluangkan masa bersama seorang pencipta konten ternama, Adzim Hariz yang cukup terkenal di pelbagai platform media sosial.
Dalam satu video dimuat naik baru-baru ini, tonggak Terengganu FC itu menceritakan pasukan kegemarannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) serta pemain yang amat diminatinya.
"Aku minat Liverpool, dari dulu lagi aku minat. Kalau ditanya mengenai idola bola sepak, sudah tentu Neymar," kata Akhyar dengan pelbagai topik lain turut diceritakan dalam video berdurasi lebih seminit tersebut.
Klip yang turut dikongsikan di laman Instagram itu sudah menerima ditonton ribuan kali dengan penyokong seperti teruja melihat pemain Sang Penyu itu kembali berada di lensa kamera.
Malah, Akhyar juga sempat mengusik pencipta konten tersebut dengan meninggalkan komen 'Kau budak lagi!' sebagai usikan dengan ia menceritakan hubungan baik kedua-dua mereka.
Adzim Hariz yang turut terkenal dengan julukan Mat Never Zero itu tidak asing lagi dalam landskap bola sepak tempatan kerana sebelum ini, dia pernah meluangkan masa bersama Selangor FC di padang latihan.
Kerjasama dilakukan itu boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana ia secara tidak langsung dapat menunjukkan kehidupan seseorang pemain bersama rakan sepasukan di luar padang.
Sebagai balasan, konten dicipta akan melonjakkan lagi nama Adzim Hariz dalam kalangan pengguna media sosial kerana orang ramai akan terus menunggu kolaborsi antaranya dengan pemain pada masa depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram