'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK


  • Bizz
  • Ahad, 27 Apr 2025

Muhammad Ariff (kiri) berkhidmat sebagai bekas pereka grafik sebelum mula terlibat dalam dunia jualan pakaian. — Arscha Allspace

DI sebalik deretan kedai sederhana di Bukit Kuda, Klang, Selangor tersembunyi sebuah kedai pakaian yang semakin mendapat perhatian peminat jersi bola sepak di dalam negara.

Antara mereka yang pernah berkunjung ke premis tersebut ialah penyanyi terkenal tanah air bertaraf antarabangsa, Yuna.

Kedai tersebut yang dikenali sebagai Arscha Allspace diusahakan bekas pereka grafik, Muhammad Ariff Mohd Alias, 28, bersama isterinya sejak Jun 2024.

BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online

BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis

Pada waktu ini, Arscha Allspace memiliki kira-kira 400 helai jersi daripada pelbagai kelab dan negara termasuk jersi edisi khas dan retro yang jarang ditemui.

Berkongsi kepada Majoriti, Muhammad Ariff berkata, pada awalnya, dia dan isteri membuka premis tersebut bagi tujuan menjual pakaian terpakai peribadi atau lebih dikenali sebagai pre-loved item.

Ketika itu, konsep perniagaan mereka membabitkan penglibatan sekitar tujuh hingga lapan vendor yang menjual pelbagai barangan antaranya pakaian dan produk gaya hidup.

Arscha Allspace yang terletak di tingkat satu rumah kedai di Bukit Kuda, Klang, Selangor. — Arscha Allspace

Bagaimanapun, kedudukan kedai mereka yang terletak di tingkat atas bangunan rumah kedai terbabit menyebabkan mereka mendapat trafik pelanggan yang agak perlahan.

TikTok Live jual jersi

Menyedari masalah tersebut, Muhammad Ariff kemudiannya memulakan inisiatif cuba melakukan siaran langsung di TikTok dengan menjual jersi terpakai yang dimilikinya.

“Saya mula buat live dan jual jersi secara spontan. Hari pertama, tiga hingga lima helai jersi jalan. Lepas tu saya cuba lagi, dan makin konsisten. 

"Ketika itu baru saya sedar bahawa rupanya ramai yang cari jersi asli,” katanya yang tinggal dan berasal dari Shah Alam, Selangor.

Melihat kepada permintaan tinggi tersebut, Muhammad Ariff seterusnya mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan jualan khusus menjual jersi di kedainya, BLOCKCORE SESSION MY yang berlangsung selama dua hari pada Disember 2024.

Acara yang turut melibatkan beberapa rakan penjual jersi di TikTok itu mendapat sambutan cukup menggalakkan dengan jumlah pengunjung harian mencecah 5,000 orang.

Bermula dari situ, Muhammad Ariff membuat keputusan untuk mengubah hala tuju perniagaannya dengan menumpukan kepada jualan jersi bola sepak.

"Kami tidak fokus pada jersi retro sahaja, sebaliknya menjual jersi baharu juga. 

"Stok jersi retro memang mencabar untuk diperoleh kerana persaingan antara penjual semakin tinggi, tetapi jersi dari awal tahun 2000 masih agak mudah dicari. 

"Setiap jersi yang kami jual akan dipastikan berada dalam keadaan baik termasuk ia dicuci dan melalui proses membaik pulih rekaan penaja atau set nama jika perlu," ujarnya.

Keadaan di Arscha Allspace ketika penganjuran acara BLOCKCORE SESSION MY yang berlangsung selama dua hari pada Disember 2024. — Arscha Allspace

Antara jersi paling unik pernah dijual ialah jersi kelab bola sepak dari Itali, Venezia yang berjaya dijual dalam masa singkat melalui TikTok Live pada harga RM1,100. 

"Selain itu, saya juga memiliki jersi Jepun edisi Piala Dunia 1998 yang dikenali sebagai Japan Flame, yang nilainya sekitar RM1,300," jelasnya yang mengusahakan kedai tersebut secara sepenuh masa buat masa ini.

Dalam pada itu, Muhammad Ariff berkata, buat masa ini, koleksi jersinya dijual pada harga antara RM100 hingga RM300.

Ujar beliau, lazimnya premis yang diusahakan akan menerima kunjungan pelanggan yang ramai pada hujung minggu dengan jualan harian adalah sekitar tiga hingga empat helai jersi.

Dapat perhatian Yuna

Berkongsi mengenai pengalamannya menerima kunjungan Yuna, Muhammad Ariff berkata, beliau sememangnya tidak menyangka kedainya mampu menarik perhatian penyanyi tersebut. 

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, sebelum itu, Yuna pada awalnya ada meninggalkan komen di Instagram Arscha Allspace.

Muhammad Ariff (tengah) ketika menerima kunjungan Yuna (kiri) dan Adam di kedainya. — Arscha Allspace

"Kemudian esoknya beliau datang ke kedai saya bersama suaminya (Adam Sinclair). Yuna peminat Liverpool.

"Adam cakap koleksi jersi Liverpool Yuna dah banyak, Adam pula dia minat macam kelab dari Brazil.

"Jadi waktu itu beliau ada beli satu jersi kelab Sao Paulo," kongsinya yang memaklumkan turut menerima pelanggan yang juga peminat jersi dari luar negara termasuk Brunei, Thailand, India dan Indonesia.

Bergerak ke hadapan, Muhammad Ariff berkata, beliau percaya kedai fizikal sepertinya masih mempunyai ruang untuk berkembang di samping jualan secara dalam talian.

Pada masa sama, beliau turut bercita-cita mahu mengembangkan jenamanya menjadi seperti syarikat Classic Football Shirts yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

Classic Football Shirts merupakan bisnes melibatkan mereka yang pakar dalam penjualan jersi bola sepak original, terutamanya jersi retro, klasik dan edisi terhad daripada pelbagai kelab dan pasukan kebangsaan dari seluruh dunia.

Ditubuhkan pada 2006 oleh dua pelajar universiti, syarikat ini bermula secara kecil-kecilan dan kini menjadi antara jenama paling dikenali dalam komuniti peminat jersi bola sepak global. 

Mereka terkenal dengan koleksi yang sangat luas, merangkumi jersi dari era 1980-an hingga kini, termasuk jersi edisi pemain, jersi perlawanan sebenar dan jersi latihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram