
REAL Madrid kini menjadi tumpuan buat beberapa nama besar yang mempunyai kaitan rapat dengan Liverpool, sama ada yang masih aktif dalam kancah bola sepak mahupun yang sudah bersara dari karier terbabit.
Khabar angin terkini menyebut bahawa kelab gergasi La Liga itu sedang mempertimbangkan beberapa tokoh dari Anfield bagi mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan Carlo Ancelotti.
Dua nama utama yang hangat disebut sebagai calon pengganti Ancelotti ialah bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan bekas pemain tengah The Reds iaitu Xabi Alonso.
BACA LAGI: Sukar ketepikan Alisson, Kelleher sedia tinggalkan Liverpool, mungkin sertai kelab London
Bukan itu sahaja, bintang pertahanan Liverpool ketika ini iaitu Trent Alexander-Arnold, turut dikaitkan dengan perpindahan ke Santiago Bernabeu pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Tekanan terhadap Ancelotti semakin meningkat berikutan kegagalan Real Madrid mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim ini, menyamai nasib malang yang turut dialami Liverpool.
Susulan itu, spekulasi mengenai pengganti pengendali dari Itali tersebut semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong bola sepak global dengan beberapa nama yang tidak asing buat pengikut The Reds turut tersenarai.
Walaupun Klopp mengumumkan bahawa dia akan berehat daripada dunia kejurulatihan selepas meninggalkan Liverpool pada akhir musim ini, tetap dikaitkan dengan kerusi panas di Bernabeu. Namun, ejennya tampil menafikan khabar angin tersebut.
Ancelotti disebut bakal meninggalkan Real Madrid susulan kekalahan di tangan Arsenal baru-baru ini. — Agensi
Alonso pula yang kini mengendalikan Bayer Leverkusen, terus disebut sebagai calon utama susulan pemenang Liga Juara-Juara 2005 itu telah menunjukkan prestasi cemerlang di Jerman dan sering kali dikaitkan dengan jawatan pengurus di Real Madrid.
Untuk rekod, Alonso juga pernah dikhabarkan hampir kembali ke England sebelum Arne Slot mengambil alih jawatan di Liverpool susulan kejayaan bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu membantu Leverkusen menjulang gelaran Bundesliga pertama dalam tempoh 120 tahun penubuhan kelab itu,
Ketika ditanya mengenai spekulasi tersebut pada Jumaat lalu, Alonso menegaskan bahawa bukan masa yang tepat untuk membincangkan masa depannya dengan dia hanya mahu memberi fokus kepada Leverkusen.
Alonso ketika ini hanya mahu memberi fokus kepada Leverkusen. — Agensi
Satu lagi nama yang kurang mendapat perhatian tetapi berpotensi besar ialah Alvaro Arbeloa selepas bekas pertahanan Liverpool itu, yang beraksi sebanyak 98 kali antara 2007 dan 2009, kini membimbing pasukan remaja Real Madrid, Juvenil A.
Prestasinya tidak terlepas daripada sorotan selepas berjaya membimbing skuad mudanya meraih ‘treble’ musim lalu iaitu menjuarai liga remaja, Liga Juara-Juara Remaja dan kejohanan Copa del Rey.
Laporan Forbes menyebut bahawa Arbeloa mungkin tidak sepopular bintang-bintang lain di akademi Real, namun dia tetap dilihat sebagai calon sesuai untuk mengambil alih pasukan utama secara sementara sekiranya Ancelotti berundur sebelum musim tamat, termasuk bagi menghadapi kejohanan Piala Dunia Kelab pada musim panas ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram