Bermusim-musim dalam buruan, 3 kelab Top EPL termasuk Man United masih gagal 'lock' bintang idaman


  • Podium
  • Isnin, 21 Apr 2025

Isak (kiri), Son (tengah) dan Suzuki (kanan) sering dikejar oleh kelab EPL namun tidak pernah berpindah dari kelab semasa.

KELAB-KELAB di Liga Perdana Inggeris (EPL) saban musim sentiasa aktif dalam mencari pemain untuk dibawa menyertai mereka.

Ia tidak lain adalah sebahagian daripada usaha untuk menguatkan pasukan sekali gus membantu membesarkan peluang meraih kejuaraan pada akhir musim.

Namun begitu, setiap kelab pasti ada berdepan situasi di mana mereka akan dikaitkan dengan satu-satu pemain namun perpindahan tersebut tidak pernah terjadi.

BACA LAGI: Dilabel juara tak semenggah, rekod jadi bukti Liverpool berhak rangkul EPL

BACA LAGI: Ditewaskan Fulham, legenda risau Liverpool jadi bahan ketawa jika 'last minute' tak angkat trofi EPL

Son Heung-min ke Liverpool

Satu nama yang sering dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool adalah melibatkan pemain Tottenham Hotspur iaitu Son Heung-min.

Bintang utama Korea Selatan itu sering dikaitkan ke Liverpool sejak musim 2016/2017 selepas dia cemerlang pada musim sebelumnya dengan menghasilkan 17 gol.

Son merupakan pemain kegemaran Jurgen Klopp.

Ia menarik minat bekas pengurus The Reds, Jurgen Klopp untuk mendapatkannya kerana Son merupakan pemain yang dikatakan menepati corak gegen-pressing. Son dianggap sebagai pemain yang bekerja keras, versatil serta kreatif dalam mendapatkan gol.

Namun begitu, Liverpool tidak pernah benar-benar cuba mendapatkan Son sehinggalah Klopp meninggalkan kelab pada musim 2023/2024. Son kekal sebagai pemain yang sesuai dengan taktikal Liverpool namun tidak pernah menyarung jersi The Reds menurut penyokong.

Alexander Isak ke Arsenal

Sejak 2021, Arsenal sudah dikaitkan dengan penyerang Newcastle United iaitu Alexander Isak dengan The Gunners sudah memerhatikannya ketika dia beraksi untuk Real Sociedad di Sepanyol. Persembahan cemerlang bersama Sweden pada Kejohanan Eropah (Euro) 2020 membuatkan Arsenal cuba untuk mendekati Isak.

Namun, Arsenal setia menggunakan Alexandre Lacazette dan Eddie Nketiah sebelum isu penyerang tumpul menimpa mereka pada musim 2021/2022. Pada jendela perpindahan Januari musim tersebut, Sociedad meletakkan harga setinggi €70 juta (RM349 juta) buat Isak, membuatkan Arsenal menarik diri.

Isak sudah lama diperhatikan oleh Arsenal.

Arsenal kemudiannya mendapatkan Gabriel Jesus. Apabila Jesus sering bergelut dengan kecederaan, Arsenal dikatakan kembali mengejar Isak. Namun, Isak memilih untuk menyertai Newcastle.

Apabila cemerlang pada musim lalu, Arsenal cuba mendapatkan Isak namun harga £100 juta (RM583 juta) diminta Newcastle terus buatkan The Gunners gigit jari dalam memperoleh penyerang idaman mereka.

Zion Suzuki ke Manchester United

Nama penjaga gol Jepun, Zion Suzuki sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United sejak 2023 sebagai salah satu pengganti David de Gea. Namun begitu, United memilih Andre Onana yang dilihat cemerlang bersama Inter Milan selain membawa masuk Altay Bayindir.

Dengan Bayindir tidak begitu menyerlah, Suzuki kembali dikaitkan ke United pada Januari 2024 sebagai penjaga gol pinjaman. Namun begitu, United memilih untuk setia dengan dua penjaga gol tersebut.

Suzuki kini bersama Parma di Itali.

Sehingga kini, United dikatakan berminat untuk mendapatkan Suzuki walaupun masih belum ada sebarang tawaran rasmi dilakukan terhadap pemain tersebut yang sedang beraksi untuk Parma di Serie A.

Dengan Onana dan Bayindir kedua-duanya sedang 'hauk', mungkin sudah tiba masa untuk United benar-benar serius mendapatkan khidmat Suzuki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram