Peraturan kesihatan rencat taktikal Arne Slot turunkan Alisson, dianggap punca Liverpool tewas


  • Podium
  • Rabu, 09 Apr 2025

Alisson dijangka dapat beraksi ketika skuad The Reds menerima kunjungan West Ham pada Ahad depan.

KETIKA mengalami kekalahan kepada Fulham pada Ahad lalu, Liverpool jelas merindui kelibat penjaga gol utama, Alisson Becker yang digantikan Coaimhin Kelleher dalam aksi di tempat lawan itu.

Perlawanan tersebut menyaksikan skuad The Reds dibolosi sebanyak tiga kali dengan ketiga-tiga jaringan tuan rumah itu seperti boleh dielakkan jika bintang Brazil itu dapat beraksi.

Namun, pengurus pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Arne Slot mendedahkan pemain berusia 32 tahun tersebut tidak dapat beraksi disebabkan peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak England (FA).

BACA LAGI: Bukan Courtois seorang buat silap, Alisson kini setanding Lord Karius

BACA LAGI: Pengadil sahkan gol sendiri Alisson

Kelleher dibolosi sebanyak tiga kali ketika Liverpool tewas kepada Fulham. — Agensi

Jelasnya, ketiadaan Alisson kerana penjaga gol tersebut mengalami gegaran otak ketika aksi di pentas antarabangsa yang menghalangnya daripada kembali secepat mungkin ke dalam skuad Liverpool.

"Ya, dia belum melepasi protokal ditetapkan FA berhubung kecederaan kepala. Terdapat kira-kira seminggu untuk perlawanan akan datang, jadi kita akan memberinya masa terlebih dahulu.

"Kami di Liverpool berjanji akan terus mengikuti peraturan pada waktu sebegini. Sekiranya dia belum melepasi syarat diletakkan, dia masih belum boleh diturunkan. Alisson sendiri mahu beraksi, tetapi protokol tetap protokol," katanya.

Dalam aksi bersama Brazil ketika berdepan Colombia, penjaga gawang The Reds itu bertembung dengan pertahanan lawan, Davinson Sanchez pada minit ke-78 yang memaksanya untuk meninggalkan padang kerana khuatir terdapat kecederaan serius di kepala.

Alisson tidak beraksi 90 minit untuk Brazil selepas terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kepala. — Agensi

Meskipun pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang isu serius dikesan, protokol FA menegaskan seseorang yang mengalami gegaran kepala tidak boleh beraksi dalam tempoh 21 hari.

Jadi, berdasarkan perkiraan, Alisson hanya boleh beraksi ketika Liverpool menerima kunjungan West Ham United pada Ahad ini yang menjangkaui tempoh ditetapkan.

Sekiranya dapat diturunkan bagi perlawanan ke-32 EPL buat skuad The Reds, penjaga gol utama itu diharapkan dapat membantu pasukannya meraih tiga mata penuh, sekali gus mengukuhkan semula kedudukan di tangga teratas.

Ketika ini, pasukan bimbingan Arne Slot itu memiliki kelebihan 11 mata berbanding Arsenal dengan mereka hanya memerlukan 11 lagi untuk menjulang gelaran itu buat kali pertama sejak musim 2019/20. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram