
PERSEMBAHAN pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk kebelakangan ini dilihat sering melakukan beberapa kesilapan yang mendorong kepada The Red memboloskan gol.
Perkara itu jelas sekali merisaukan penyokong dengan perkara itu menjadi salah satu punca kepada Liverpool kalah kepada Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Kesilapan yang dilakukan oleh Van Dijk membolehkan Rodrigo Muniz menjaringkan gol ketiga Fulham sekali gus menyebabkan The Reds kalah 2-3 di laman lawan.
BACA LAGI: Liverpool perlu bersaing dengan Newcastle, Chelsea andai mahu sambar pengganti van Dijk
BACA LAGI: Bintang Barcelona, Bayern sesuai jadi 'pairing' Konate andai Van Dijk tinggalkan Liverpool
Kesilapan Van Dijk (tengah) jadi punca kekalahan Liverpool kepada Fulham.
Van Dijk dilihat tewas dalam pertarungan fizikal semasa merebut bola tinggi berdepan Muniz. Kesilapan serupa dilakukannya ketika bertemu Everton pada pertengahan minggu semasa berdepan penyerang The Toffees, Beto.
Mujur ketika itu, perebutan yang berakhir dengan jaringan itu tidak dikira oleh pengadil kerana Beto dalam kedudukan ofsaid.
Melihat kepada situasi tersebut, pengendali Liverpool, Arne Slot tidak melihat ia sebagai masalah prestasi terhadap Van Dijk. Sebaliknya, pengurus itu lebih memandang ia sebagai kebijaksanaan kedua-dua penyerang itu untuk mengatasi pertahanannya.
"Saya juga berikan kredit kepada pemain lain (lawan) juga. Jika anda melihat kepada Beto, Van Dijk bukanlah pertahanan pertama yang mengalami kesukaran bermain menentangnya kerana dia akan kejar setiap bola, menolak anda sebelum anda boleh dapat pegang bola.
"Seorang lagi pemain (Muniz), anda perlu berikan kredit kepada dia juga.
"Saya masih lihat banyak perkara yang Van Dijk lakukan dengan baik. Jika anda bermain 50, 60 perlawanan, malah untuk dia sendiri, pasti akan mengalami satu, dua kejadian yang kita rasa dia patut buat lebih baik. Saya tak risau mengenainya," jelas Slot selepas kekalahan kepada Fulham.
Dalam pada itu, terdapat juga persoalan mengenai sama ada skuad Liverpool sebenarnya keletihan kerana keengganan slot melakukan penggiliran pemain.
Namun Slot menafikan keletihan menjadi punca para pemainnya melakukan kesilapan mudah bertemu Fulham.
"Tidak. Terdapat empat hari di antaranya (perlawanan menentang Everton dan Fulham) dan kami tunjukkan banyak kali pada musim ini yang itu bukan masalah buat kami.
"Saya tidak rasa yang kesilapan-kesilapan itu ada kena mengena dengan pemain berasa letih," jelas Slot.
Walaupun tewas, Liverpool masih mengekalkan pendahuluan 11 mata di depan Arsenal dalam usaha mengesahkan kejuaraan ke-20 liga. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram