
HEBOH diperkatakan di media sosial kebelakangan ini bahawa Selangor FC berminat menyambar Saddil Ramdani selepas pemain sayap itu menamatkan musim keempat bersama skuad Sang Badak.
Penyerang kebangsaan Indonesia itu sememangnya sesuai beraksi buat skuad Gergasi Merah berdasarkan pengalaman beraksi di Liga Super selain kebolehan untuk mencipta persefahaman baik bersama Faisal Halim.
Bagaimanapun, penyokong kelab Lembah Klang itu berasakan pemain tersebut bukanlah pilihan terbaik untuk meningkatkan kebolehan jentera serangan pasukan yang bakal berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two 2025/26.
BACA LAGI: Dicanang ke Selangor FC, fans Gergasi Merah sebaliknya tolak mentah-mentah Saddil Ramdani
BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan Sabah, Saddil ada 2 destinasi pilihan termasuk kembali ke pangkuan OKS
Saddil yang akan meninggalkan skuad Sang Badak kurang diminati penyokong Selangor FC. — Facebook/Sabah FC
Berdasarkan pandangan dikongsikan di media sosial, mereka mahu Selangor FC membawa masuk penyerang sayap import yang berpengalaman luas dalam karier, sama ada di Eropah mahupun Asia.
Harapan itu seperti sudah kedengaran pihak pengurusan kerana baru-baru ini, timbul khabar angin mengatakan naib juara Liga Super 2024/25 berkenaan sedang mengikuti perkembangan rakan senegara Saddil, Eliano Reijnders.
Perkara tersebut dikongsikan pemerhati bola sepak tempatan, T Avineshawaran di laman X dengan laporan tidak rasmi itu membuatkan rata-rata penyokong teruja untuk mengalu-alukan kehadirannya.
"Selangor sedang memantau perkembangan Eliano Reijnders yang boleh beraksi sebagai pertahanan dan penyerang di bahagian sayap. Pemain berusia 24 tahun itu meraih tiga kaps bersama skuad Indonesia dan merupakan adik kepada bintang AC Milan dan Belanda, Tijjani," tulisnya.
Eliano kini beraksi di Liga Belanda bersama PEC Zwolle dengan dia lebih kerap diturunkan sebagai bek kanan, namun beberapa kali dimainkan sebagai penyerang sayap kiri.
Eliano (kiri) merupakan adik kepada Tijjani yang kini beraksi buat AC Milan dan Belanda. — Agensi
Kebolehan bermain dalam pelbagai posisi itu merupakan kunci utama pengendali skuad Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi yang melakukan pendekatan sedemikian beberapa kali sejak dilantik.
Melihat kepada nilai pasaran Eliano ketika ini, Selangor FC perlu berbelanja sekurang-kurangnya €550,000 (RM2.7 juta) dengan permintaan tersebut pasti sukar direalisasikan pihak pengurusan.
Namun, sekiranya mendapat suntikan dana lumayan selepas layak ke ACL Two, pemain tersebut boleh diletakkan dalam sasaran nama-nama yang akan dibawa masuk pada jendela perpindahan kali ini.
Untuk rekod, Eliano sebelum ini memilih untuk beraksi buat skuad Garuda dengan dia sudah terlibat dalam tiga perlawanan bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026, termasuk ketika negara itu menundukkan Bahrain pada Mac lalu.
Sementara itu, abangnya, Tijjani yang beraksi di Itali bersama AC Milan memilih untuk beraksi buat Belanda dengan keputusan diambil dua adik beradik itu jelas membuahkan hasil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram