Dicanang ke Selangor FC, fans Gergasi Merah sebaliknya tolak mentah-mentah Saddil Ramdani


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Saddil dilaporkan akan meninggalkan Sabah pada akhir musim 2024/2025 dan menyertai Selangor FC. — Facebook/Sabahfc

JODOH pemain sayap, Saddil Ramdani bersama Sabah FC dijangka tidak akan berkekalan selepas dia dikatakan berpotensi besar untuk meninggalkan pasukan pada akhir musim ini.

Dia dijangka meninggalkan kelab Borneo itu pada penamat musim 2024/2025 dengan destinasi seterusnya masih belum jelas sama ada kekal di Malaysia atau kembali ke Indonesia.

Sekiranya kekal di Malaysia, Selangor FC dilihat sebagai destinasi yang sesuai buat Saddil dan namanya kini mula disebut-sebut sebagai calon untuk menyertai pasukan Lembah Klang itu musim depan.

BACA LAGI: 'Gaji 50 ribu di JDT on time', TMJ bagi 2 situasi jika pemain bola sepak salah pilih kelab

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mungkin ini terakhir kita pakai jersi Sabah', ucapan Daniel Ting bikin fans Sang Badak sebak

Kehadiran Saddil dijangka boleh mencipta gandingan hebat dengan Faisal. Facebook/Selangorfc

Kehadirannya berpotensi memperkuatkan jentera serangan Gergasi Merah terutama dengan Selangor bakal beraksi di pentas Asia selepas bergelar naib juara Liga Super musim ini.

Ketika ini, Selangor bergantung kepada dua tonggak utama di bahagian sayap, iaitu Alvin Fortes dan Faisal Halim.

Saddil yang memiliki kepantasan dan kepakaran dalam membuat larian di bahagian kanan dilihat mampu melengkapi taktikal pengendali Katsuhito Kinoshi.

Kerjasama Saddil di kanan dan Faisal di kiri boleh memberi lebih variasi dalam corak serangan Selangor FC musim depan.

Namun begitu, berita kemungkinan Saddil menyertai Selangor FC musim depan menerima reaksi kurang positif daripada penyokong pasukan tersebut.

Ramai dalam kalangan peminat Gergasi Merah menolak secara terbuka cadangan membawa masuk pemain sayap Indonesia itu.

"Carilah pemain lain, ada Saddil pun pasukan tak boleh nak kalahkan JDT pun," kata Tok Jebat.

"Tak payahlah Saddil ini, lebih baik pemain Selangor FC II itu dinaikkan pangkat, kalau nak pemain Indonesia, ambil yang warisan Indonesia," kata Putra Putih.

"Kekalkan Alvin Fortes, tak payahlah nak ambil Saddil ini untuk perkuatkan pasukan," kata Amir Adam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram