Khidmat mungkin tak diperlukan JDT, Terengganu sedia sambar Syafiq Ahmad berbanding Selangor


  • Podium
  • Isnin, 21 Apr 2025

Prestasi kurang memberangsangkan ditampilkan Syafiq sepanjang beraksi buat skuad Sang Kenari sedikit merisaukan. — Facebook/KDA FC

MASALAH dalaman dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan rata-rata pemain mengambil keputusan untuk mencari kelab baharu demi kelangsungan karier masing-masing.

Antara yang sudah berbuat demikian ialah penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad yang memilih untuk kembali ke pangkuan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tempoh pinjaman di Utara tanah air tamat.

Dia yang dilanda kecederaan pada penghujung 2024 terpaksa menelan realiti bahawa tempoh perkhidmatannya yang ketiga buat skuad Sang Kenari tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan.

BACA LAGI: Jika bukan Selangor, ada 3 kelab sedia sambar Syafiq Ahmad selain kembali ke SSI

BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan Kedah, Syafiq Ahmad disebut-sebut perkuat Selangor

Skuad Harimau Selatan sudah dilimpahi lambakan penyerang berkualiti. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Ini kerana dalam saingan Liga Super, pemain berusia 29 tahun berkenaan hanya sempat diturunkan 13 kali dengan dua gol dan satu bantuan jaringan dicatatkan buat KDA FC.

Pulangan tersebut sudah pasti membuatkan JDT kurang yakin untuk kembali meletakkan kepercayaan kepadanya, lebih-lebih lagi kerana terdapat lambakan peledak tempatan mahupun import dalam pasukan.

Kesukaran meraih minit permainan buat skuad Harimau Selatan pasti membuatkan Syafiq terbuka untuk meninggalkan kelab itu pada jendela perpindahan kali ini, baik secara kekal mahupun tetap.

Penyerang itu bagaimanapun tidak perlu menunggu lama untuk mencari destinasi baharu kerana khabar angin terkini mengatakan skuad Sang Penyu berminat akan khidmatnya.

"Dijangka pulang ke JDT selepas tinggalkan KDA, kelibat Syafiq Ahmad bagaimanapun difahamkan menarik minat Terengganu musim depan," tulis pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam di laman X.

Skuad Sang Penyu pasti mengalu-alukan kehadiran Syafiq Ahmad. Facebook/Terengganu FC

Gosip perpindahan sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu kerana kira-kira dua musim lalu, Syafiq juga disebut-sebut akan ke Pantai Timur, namun memilih untuk menyertai skuad Sang Kenari.

Penghijrahan tersebut dilihat amat relevan buat kesemua pihak memandangkan Terengganu FC tidak mempunyai penyerang lokal berkualiti yang boleh memanfaatkan bantuan rakan sepasukan.

Malah, peledak import skuad Sang Penyu juga kurang mengancam musim ini dengan Ismaheel Akinade dan Chijioke Nnabuike bukanlah solusi kepada ketumpulan jentera serangan yang disebabkan kecederaan Ivan Mamut.

Bagi Syafiq pula, dia yang memerlukan minit permainan pasti mengharapkan perpindahan itu dapat direalisasikan demi mendapatkan keyakinan selepas beberapa musim diletakkan di bangku simpanan.

Selain disebut-sebut akan beraksi buat Terengganu FC, pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC kerana kelab Lembah Klang tersebut turut berminat akan khidmatnya.

Bagaimanapun, hubungan dingin antara Selangor dengan JDT akan menyulitkan kemungkinan untuk perpindahan tersebut berlaku, sekali gus menguatkan kemungkinan dia akan berkelana ke Pantai Timur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram